Wanita putih mata Vellfire tak dapat, RM23,000 lesap

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kedai makan mendakwa ditipu dalam urusan pembelian kenderaan secara dalam talian hingga kerugian RM23,000.

Wanita berusia 41 tahun itu berminat untuk membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire keluaran tahun 2018 selepas melihat iklan melalui sebuah akaun Facebook menjual kenderaan kereta terpakai yang dilayari pada Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi wakil penjual bernama Stancy untuk urusan pembelian kenderaan itu yang ditawarkan pada harga RM80,000.

"Sebagai tanda jadi, mangsa diminta memberikan nombor kad pengenalan dan membuat bayaran pendahuluan RM15,000.

"Mangsa membuat bayaran diminta melalui empat transaksi pemindahan wang ke sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki pada 22 dan 23 Oktober tahun lalu dengan jumlah keseluruhan RM23,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Wazir berkata, selepas bayaran itu dibuat, mangsa menghubungi penjual untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kenderaan yang dibelinya itu.

"Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu apabila penjual memberikan pelbagai alasan dan gagal memberikan maklumat tentang status kenderaan tersebut.

"Susulan daripada itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis percaya suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan kenderaan mewah pada harga rendah yang tidak wujud hingga mendorong wanita itu membuat bayaran sehingga mengalami kerugian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!