Harga minyak naik: AirAsia kenakan semula surcaj bahan api
KUALA LUMPUR - AirAsia Malaysia akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac, 2022 bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.
Menurutnya, pengenalan semula surcaj bahan api oleh AirAsia adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang telah melepasi AS$120 setong.
"Surcaj bahan api ini akan dikenakan untuk semua tempahan penerbangan baharu yang dibuat pada dan selepas 8 Mac, 2022. Semua tempahan yang dibuat sebelum 8 Mac, 2022 tidak akan terjejas,” jelasnya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu menambah, kadar surcaj bahan api bagi semua laluan domestik dalam Malaysia adalah RM10 manakala bagi laluan antarabangsa bertempoh satu hingga dua jam pula sebanyak RM25.
Kadar untuk laluan antarabangsa dengan masa dua hingga tiga jam; tiga hingga empat jam; dan lebih daripada empat jam masing-masing pada RM35, RM50 dan RM60, jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat penerbangan di seluruh dunia terjejas berikutan harga bahan api yang terus meningkat akibat keadaan di Eropah Timur serta faktor luaran lain.
"Sejak kali terakhir kami memansuhkan surcaj bahan api pada 2015 berikutan harga bahan api global serendah AS$48 setong waktu itu, kami telah mengalami beberapa lonjakan harga bahan api yang menyebabkan syarikat penerbangan lain mula mengenakan surcaj ini.
"Bagaimanapun, AirAsia telah menyerap kenaikan harga bahan api yang lepas untuk terus memberikan nilai terbaik kepada pelanggan kami. Malangnya, keadaan semasa, dengan harga bahan api telah melonjak lebih 160 peratus daripada angka pada 2015, telah menjadikan situasi ini tidak lagi mampan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap langkah ini hanya sementara dan akan terus memantau keadaan semasa, di samping memanfaatkan inovasi teknologi dan digital sebagai cara untuk mengawal kos dan menjadikan perjalanan udara mampu milik untuk semua. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!