ATM perlu peruntukan tambahan selenggara aset
TANAH MERAH - Kementerian Pertahanan berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan tambahan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya untuk menyelenggara aset-aset sedia ada bagi tujuan kecemasan seperti bencana alam.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa membantu masyarakat terutama ketika bencana alam seperti banjir dan sebagainya.
Menurutnya, walaupun ATM tidak mempunyai aset khusus untuk bencana banjir, namun aset-aset sedia ada digunakan sebaik mungkin bagi membantu mengikut kesesuaian semasa.
"Kita tiada aset khusus untuk banjir, tetapi kita guna aset pertahanan untuk menjaga ketenteraman negara yang sedia ada bagi tujuan bencana dan sebagainya.
"Kita memang sentiasa bersiap siaga bantu masyarakat sebagaimana banjir di Selangor, Pahang dan kini Kelantan. Namun begitu, kita berharap kerajaan dapat sediakan peruntukan tambahan untuk tujuan penyelenggaraan aset. Jika berlaku banjir dalam skala besar, memang kita tahu mereka akan minta bantuan dengan tentera.
"Oleh itu, kita perlu sentiasa bersiap sedia dengan aset yang boleh digunakan dalam apa jua keadaan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau sebelum itu menghadiri Program Jiwa Murni Tentera bersama Warga Felda Kemahang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Panglima 8 Briged, Briged Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis.
Sementara itu, Ikmal yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, beliau turut menyuarakan mengenai kebajikan anggota ATM semasa berucap di Parlimen baru-baru ini.
Katanya, ia melibatkan skop kuarters kediaman anggota yang semakin usang dan perlu dibaik pulih.
"Sebagai contoh, kuarters Kem Terendak di Melaka dan Port Dickson di Negeri Sembilan yang sudah daif.
"Langkah ini amat penting bagi memberi sokongan moral kepada anggota bagi memastikan mereka mendapat motivasi diri yang tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!