Kes penyokong gaduh: Polis tahan dua lelaki
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki ditahan dalam insiden pergaduhan antara penyokong Kuala Lumpur City dan Selangor FC di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 pagi itu, pihaknya cuba meleraikan kekecohan membabitkan penyokong tersebut.
"Kita telah mengarahkan mereka untuk beredar, namun dua lelaki didapati tidak mengendahkan arahan yang diberikan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muhammad Idzam berkata, pihaknya telah menahan kedua-dua suspek kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan.
"Mereka direman tiga hari bermula hari ini hingga Isnin untuk melengkapkan siasatan," katanya.
Muhammad Idzam turut memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan kegiatan yang melanggari undang-undang.
"Kita juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar undang-undang," katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan satu rakaman video tular di media sosial memaparkan keadaan kecoh di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras selepas aksi kedua-dua pasukan itu seri dengan keputusan 3-3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!