KKMM luluskan RM100,000 bantu mangsa banjir pantai timur: Annuar
KLUANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi membantu mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, persiapan sedang dilakukan untuk menghantar bantuan tersebut, setelah berunding dengan jentera tempatan bagi mengelakkan pertindihan barangan bantuan.
"Saya telah memberi arahan kepada pasukan sukarelawan KKMM khususnya di bawah kendalian Sekretariat di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
"Mungkin bantuan boleh dibuat pada pascabanjir kerana sekarang ada banyak bantuan, mungkin ada keluarga yang perlukan bantuan pascapindah banjir,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program rewang bersama masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Muhibbah, Paloh, pada Sabtu.
Setakat 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu semakin berkurangan dengan hanya 3,408 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata Barisan Nasional (BN) sedang melaksanakan kajian sikap pengundi, yang turut melibatkan parti komponen BN pada minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, untuk mengetahui tahap sokongan pengundi.
Katanya, BN sentiasa mempunyai data tahap sokongan pengundi dengan mengabungkan data yang diperolehi daripada parti komponen BN yang lain.
"Asasnya kita mempunyai data berasaskan pengundi Melayu, ia akan diintegrasikan yang bergantung kepada calon parti yang mewakili BN,” katanya.
"Data ini mustahak untuk kita apabila memasuki fasa terakhir bagi get out the voters atau bring out the voters. Sistem ini difahami jentera dan kita mempunyai tenaga yang cukup teratur serta strategi kempen sesuai yang boleh menang hati pengundi,” katanya.
Bekas Setiausaha Agung UMNO itu juga berkata, jentera sedang mendekati pengundi ‘putih’, yang berada di luar Johor dengan menghubungi mereka melalui pusat panggilan pusat.
Annuar juga kemudiannya menyumbangkan kira-kira 520,000 pelitup muka kepada jentera BN atas sumbangan peribadi beliau di Kluang, pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRN Johor pada 12 Mac ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!