Graduan ada pengalaman kerja ditawar gaji lebih tinggi
SHAH ALAM - Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang mempunyai pengalaman bekerja semasa belajar akan memberi kelebihan kepada mereka bagi memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian dengan gaji lebih baik.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, ia berikutan pengalaman merupakan aspek penting dalam dunia pekerjaan yang dilihat sangat kompetitif pada zaman sekarang.
Menurutnya, kalau bidang seperti kejuruteraan, individu berpengalaman adalah yang paling sesuai kerana ia mengurangkan jurang antara kemahiran yang perlu dan kemahiran sedang dibina.
“Bagi majikan yang mengambil ‘fresh graduate’, mereka mungkin menawarkan gaji yang rendah. Ini bukanlah menindas tetapi bersesuaian dengan kelayakan. Tetapi apa yang rugi ialah mereka mendapat pekerja yang tidak ada pengalaman.
“Justeru, bagi saya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) juga memainkan peranan penting. Tetapi apa yang lebih penting adalah pengalaman kerja bagi memastikan mereka boleh melaksanakan tugas dengan baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Berdasarkan laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu, mahasiswa yang melakukan kerja sambilan mempunyai kelebihan apabila memohon kerja tetap kerana pengalaman tersebut dilihat ‘lebih laris’.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, mereka sanggup bekerja dalam pelbagai bidang seperti di restoran, menjadi pembantu klinik dan penghantar makanan dengan pendapatan ada yang mencecah sehingga RM2,000 sebulan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, graduan yang pernah bekerja sambilan menjadi pilihan majikan dan lebih mudah mendapat pekerjaan kerana sudah mempunyai pengalaman.
Menurutnya, terdapat segelintir majikan tidak meletakkan syarat kelayakan CGPA yang terlalu tinggi.
“Ini kerana majikan bukannya mengharapkan pelajar ini boleh melakukan kerja 100 peratus, tetapi mereka hendak mengurangkan jurang antara kemahiran yang perlu dan kemahiran yang sedang dibina.
“Nak kurangkan jurang tersebut, mereka cuba dapatkan pekerja yang bagus. Tetapi CGPA 2.75 pun ada majikan yang masih relevan untuk menerima pelajar tersebut. Sebab itu, bagi saya ia bergantung kepada jenis pekerjaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!