Remaja maut kepala tersangkut enjin bot
SEMPORNA - Seorang remaja lelaki maut selepas kepalanya putus akibat tersangkut pada enjin bot ketika sedang menghidupkannya di Kampung Panji di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat parah di bahagian kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 pagi.
Katanya, lima anggota dikejarkan ke lokasi dan terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer berikutan tiada laluan bot ke lokasi kejadian.
"Menurut ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku ketika mangsa menghidupkan enjin dan mahu menangkap ikan di laut. Dipercayai lengan baju jaket dipakainya terbelit pada 'shaft' penyambung enjin pam bot yang sedang bergerak itu.
"Akibatnya, tangan mangsa turut terbelit lalu mangsa terjatuh sebelum rambut dan kepalanya turut tersangkut pada alat berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Sabtu.
Bagaimanapun Faisal berkata, ketika pasukannya tiba di lokasi, mangsa sudah dikeluarkan oleh penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.19 tengah hari," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi berkata, setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Kita tiada terima sebarang laporan dari mana-mana pihak berkaitan kes ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!