'Tutup kedai, tarik lesen jika jual nombor ekor' - MB

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

GUAR CHEMPEDAK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran kepada pemilik kedai runcit yang berselindung menjual nombor ekor di premis tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya premis terbabit dikenal pasti terlibat dalam perjudian tersebut dan tidak akan teragak-agak menarik semula lesen perniagaan.

“Saya tahu ada kedai runcit jual nombor ekor sebab ada yang beli di sana, tunggu sat (kejap) tak kena tak apa, kalau kena tangkap makan tak habis.

“Kalau kedai tersebut kena tangkap ada jual nombor ekor, sekali dengan kedai kita arah tutup. Berhentilah sebelum ditangkap kalau tak mahu kedai ditutup,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Rakyat Parlimen Jerai di Dewan Serbaguna di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan apa yang dikuatkuasakan di negeri ini dilaksanakan dengan jayanya.

“Saya tahulah cara nak buat macam mana untuk banteras aktiviti perjudian di Kedah. Ini termasuk yang berselindung di sebalik kedai kafe siber tetapi aktiviti sebenarnya adalah premis judi secara dalam talian, ini pun kita sedang teliti,” katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri mahu menjadikan Kedah sebagai negeri bebas judi pada masa depan dan serius membanteras aktiviti tidak bermoral itu.

“Kita akan lawan habis-habisan, kalau tak mahu kedai kena tutup, hentikan segera aktiviti judi.

Artikel Berkaitan:

Saya beruntung sebab dapat sokongan berterusan daripada semua pegawai kerajaan dan Pegawai Daerah berhubung isu ini,” katanya.

Pada 14 November 2021, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen judi sedia ada sebaik ia tamat tempoh berkuat kuasa serta merta.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, ketetapan tersebut selari dengan perintah ALLAH SWT yang mengajak manusia melakukan kebaikan dan pada masa sama mencegah kemungkaran.

“Dengan sedikit kuasa yang kita ada, kita berani lakukan, saya tahu rakyat akan sokong tindakan saya ini.

“Apabila lesen sedia ada tamat ia tidak lagi diperbaharui, sudah ada beberapa lesen yang tamat dan kedai tersebut sudah tutup. Lama-kelamaan semua kedai judi di Kedah akan tutup,” katanya.

Menurutnya lagi, aktiviti judi tidak membawa sebarang kebaikan kecuali kepada tauke judi.

“Semua judi adalah haram, tak ada yang kaya sebab main judi. Yang berlambak adalah seluruh isi keluarga merana akibat judi.

“Sokonglah usaha ini, walaupun ada yang marah sebab kita tutup premis judi, yang bising duduk jauh, bukan dalam Kedah konon tindakan saya itu menyekat hak asasi manusia. Benda buruk bukan hak asasi, kalau semua dikira hak asasi benda yang mendatangkan kemusnahan kepada orang lain perlu dihapuskan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan agar semua pihak melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran secara serentak untuk memperoleh rahmat ALLAH SWT dalam kehidupan.

“Kalau abai salah satu, akan jadi tak seimbang. Sebab itu dalam usaha memajukan Kedah, kita galakkan pelabur dengan membuka ruang seluasnya termasuk tawar inisiatif, namun pada masa sama kita cegah perkara yang boleh bawa kepada kerosakan,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!