Kelantan FC kecewakan JDT II

Kelantan FC meraih tiga mata berharga selepas menewaskan JDT II di Larkin sebentar tadi. - Foto FB TRW Kelantan FC
Kelantan FC meraih tiga mata berharga selepas menewaskan JDT II di Larkin sebentar tadi. - Foto FB TRW Kelantan FC
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Kelantan FC dalam aksi pembukaan Liga Premier di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh hasil jaringan Natanael Siringo Ringo menerusi satu serangan balas pantas yang dilancarkan ke kubu JDT II.

JDT II terus menggandakan asakan bagi memburu gol menerusi percubaan pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan, namun rembatannya melewati palang pada minit ke-17.

Tuan rumah sekali lagi mencipta peluang jaringan hasil sepakan sudut pada minit ke-22, namun tandukan Feroz Baharudin tepat ke arah penjaga gol Kelantan FC, Ahmad Solehin.

Sebelum tamat aksi babak pertama, penyerang berpengalaman, Ahmad Hazwan Bakri berpeluang menguji kubu pelawat, namun masih menjelmakan jaringan buat JDT II.

Bersambung babak kedua, giliran Daniel Amier Norhisham pula mempunyai peluang keemasan untuk memecahkan kebuntuan gol JDT II, namun percubaannya dinafikan pertahanan lawan.

Kemasukan Daryl Sham nyata mengubah rentak permainan JDT II apabila dia berjaya menyumbang gol penyamaan pada minit ke-74.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian, Jasmir Mehat muncul wira Kelantan FC apabila meledak gol pada minit akhir perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!