Banteras samseng bola sepak

Rakaman video tular memaparkan insiden kekecohan melibatkan penyokong Kuala Lumpur City dan Selangor FC di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.
Rakaman video tular memaparkan insiden kekecohan melibatkan penyokong Kuala Lumpur City dan Selangor FC di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.
A
A
A

ADAKAH budaya samseng bola sepak atau lebih terkenal dengan panggilan hooligan di Eropah sudah kembali menular di negara ini?

Persoalan itu timbul susulan insiden pergaduhan penyokong ketika aksi Liga Super antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Ia adalah insiden kedua dalam tempoh seminggu selepas pada Sabtu lalu berlaku kekecohan penyokong di luar Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City.

Ketika mengulas insiden terbaharu di Cheras, bekas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamaruddin Abdullah berkata, pihak berwajib harus memandang serius isu keganasan bola sepak di negara ini.

Beliau memberitahu, sekiranya insiden-insiden seperti itu tidak dibanteras segera, dikhuatiri ia akan lebih melarat sehingga boleh mengundang perkara jauh lebih buruk pada masa akan datang.

“Perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku. Ini kerana sudah pasti yang akan dipertanggungjawabkan nanti adalah pihak tuan rumah walaupun insiden tersebut hanya melibatkan penyokong.

“Kedua-dua pasukan sebenarnya boleh dikenakan tindakan atau hukuman tetapi ia (hukuman) akan lebih berat kepada pihak tuan rumah.

“Jadi pada peringkat awal ini adalah lebih baik untuk semua pihak bekerjasama bagi mengelak wujudnya kumpulan-kumpulan penyokong seperti ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Selepas berakhirnya aksi antara KL City dan Selangor FC itu yang berkesudahan seri 3-3, tular satu video berdurasi 36 saat memperlihatkan sekumpulan penyokong yang berhimpun dan cuba menyerang sekelompok lagi penyokong yang hadir di stadium tersebut.

Selain itu, terdapat juga klip video yang memaparkan penyokong menyerang seorang penyokong yang lain sehingga terpaksa dileraikan pihak polis.

Dalam satu lagi klip video berasingan yang turut tular, pergaduhan dipercayai turut berlaku di kawasan tempat duduk penyokong di dalam stadium berkenaan.

“Isu sebenar di sini adalah berkaitan isu keselamatan dan yang bertanggungjawab sepenuhnya berhubung isu keselamatan di stadium sudah tentu pihak tuan rumah.

“Pihak tuan rumah bertanggungjawab mengasingkan penonton. Malah, pihak tuan rumah perlu mengasingkan pemain kedua-dua pasukan sehinggalah mereka (penonton/pemain) selamat meninggalkan stadium,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!