Adat dan budi dalam teromba
MELESTARIKAN puisi tradisional adalah tanggungjawab kita bersama agar warisan turun-temurun ini tidak ditelan zaman sekali gus ia dapat dinikmati oleh generasi demi generasi, terutamanya dalam kalangan mahasiswa.
Demikian halnya juga dengan puisi tradisional jenis teromba yang semakin dilupai oleh masyarakat umum. Tidak seperti puisi tradisional lain macam pantun dan syair yang lebih dekat di hati khalayak marhaen.
Berdasarkan hakikat ini, maka Alumni Bengkel Puisi Merdeka (ALUMNI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama-sama rakan kolaborasinya Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif mengangkat puisi Melayu lama jenis teromba ini dalam program ‘Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan’ anjuran mereka pada Jumaat lalu.
Tetamu dalam segmen ‘Canai Puisi’, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin membicarakan ‘Adat dan Budi dalam Teromba’ yang dikemudikan oleh Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail daripada UUM.
Mohd Rosli merupakan Felo Penyelidik Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau pernah dinobatkan sebagai tokoh Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup dalam memperjuangkan seni teromba dan adat perpatih.
Menurut Mohd Rosli yang juga dikenali sebagai Raja Teromba, seni teromba adalah sejenis himpunan puisi Melayu klasik yang ada kaitan dengan peraturan dan undang-undang masyarakat Melayu terutamanya Melayu dahulu.
“Ia mengandungi unsur-unsur pantun, syair, nazam, gurindam, pepatah dan sebagainya bagi tujuan memberi nasihat, perkhabaran dan teguran kepada masyarakat secara lembut dan halus melalui bahasa kiasan yang indah.
“Seni teromba ini mempunyai ciri-ciri penting melalui unsur-unsur nasihat yang lembut tetapi menusuk dengan nilai-nilai didikan yang tersirat,” terangnya.
Menurut beliau, apabila memberi teguran kepada sahabat yang sering bergurau kasar dengan kita, teromba boleh disampaikan dengan cara yang halus tanpa menyinggung perasaan penerima.
Antara contohnya adalah seperti berikut:
Ke pulau, ke pulau, ya
Ke tanjung, jangan...
Bergurau, bergurau, ya
Menyinggung jangan.”
Selain itu, kata beliau, nilai-nilai didikan yang terkandung dalam teromba boleh dilihat dalam contoh di bawah:
Kok dilipat selebat kuku,
Kok dibentang selebar alam,
Walau sebesar biji labu,
Langit dan bumi ada di dalam.
Jelasnya, contoh lain yang menyatakan kepentingan semangat permuafakatan dalam kalangan masyarakat boleh dilihat dalam contoh ini:
Duduk seorang bersempit-sempitan, duduk ramai berlapang-lapangan.
Katanya, teromba Pemimpin Adat Sejati menekankan unsur-unsur nasihat melalui bahasa Melayu lama yang sangat puitis dan jika ia ditinggalkan merupakan satu kerugian buat generasi akan datang.
Bahasa puitis yang dicerminkan dalam teromba berkenaan boleh dilihat melalui contoh berikut:
Bercakap lurus berkata benar,
Tahu menimbang bijak menakar,
Ramah kepada kecil dan besar,
Pantang sekali berlaku kasar.
Benar menyukat adil menimbang,
Pantang memilih membezakan orang,
Angguknya sama muka belakang,
Tegaknya kukuh tahan digoyang.
Hati keras lembut lidah,
Cakap berisi petuah amanah,
Kerja tekun banyak faedah,
Pantang sekali berlengah-lengah.
Teromba yang mengisahkan gambaran kasih sayang kepada seseorang boleh sama-sama kita nikmati melalui contoh berikut:
Angkut-angkut terbang ke langit,
Terbang ke langit menyidai kain,
Walau terlangkup bumi dan langit
Kasih tak berubah pada yang lain.
Salah seorang daripada peserta program yang menetap di Sibu, Sarawak, Rusdi MN, berpendapat bahawa teromba adalah puisi lama yang bebas daripada ikatan, bentuk, dan struktur tertentu tetapi mempunyai elemen pengajaran yang tinggi.
“Memang sangat menarik untuk dipelajari,” katanya.
Beliau berkata, puisi tradisional Melayu sewajarnya dipelajari oleh semua penulis kerana ia merupakan akar budi dan lambang jati diri bangsa kita. Didikan serta perkongsian pengalaman kehidupan banyak tertulis melalui puisi tradisional ini.
“Teromba pula merupakan satu perkongsian pandangan atau nasihat yang tentunya sangat bermanfaat kepada perkembangan intelek anak-anak serta mampu mendidik kemahiran berbahasa mereka. Melalui penghayatan teromba, anak-anak akan terangsang untuk meneroka patah-patah kata yang digunakan. Penyampaian secara bersahaja tentunya akan menimbulkan minat kepada penikmat.
“Biarpun teromba popular di Negeri Sembilan, tetapi tidak salah orang-orang di luar dari Negeri Sembilan mempelajari mahupun membacanya,” ujar Rusdi yang berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Sebelum itu, Rusdi juga menyampaikan persembahan teromba beliau yang mendapat pujian daripada Raja Teromba sendiri. Penghargaan itu adalah atas kesungguhan dan kreativiti beliau mengarang karya teromba yang menepati ciri-ciri penghasilan sebuah ciptaan yang baik.
Antara petikan daripada karya teromba Rusdi yang berjudul ‘Berbudi Bahasa’ adalah seperti berikut:
Kok lambung tak pecah
Kok rendam tak basah
Kok hindik tak patah
Kok tunduk tanda hormat
Kok sopan tanda sanjung
Kok junjung tanda mengagung
Nian cermat amal warisan
Nian teliti bahasa dijulang
Nian kekal terbilang bahasa
Nian kekal gemilang bangsa.
Menurut Rusdi, dalam penghasilan karya, beliau perlu banyak membaca terutamanya karya-karya teromba.
“Banyakkan meneroka unsur-unsur alam supaya boleh dipadankan kata-katanya. Teromba ini menarik kerana ia terkandung peribahasa, bidalan, dan pantun Melayu,” terang beliau.
Menurut Pengarah dan Pengacara Program, Harlym Yeo yang juga merupakan Exco PEMUISI, acara ‘Deklamasi Puisi Panorama Kehidupan’ adalah program bulanan secara dalam talian yang dipancarkan melalui pelantar Zoom dan disiarkan secara langsung di Facebook ‘Pemuisi Berkarya’ dan Facebook ‘Pusat Budaya UUM’.
“Program yang kini sudah masuk ke siaran ke-18 mengangkat puisi Melayu ke persada dunia dengan melibatkan penyertaan pelbagai negara seperti dari Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, dan Republik Rakyat China,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!