Tular wanita mengamuk sambil 'live', berhadapan risiko disaman fitnah

Khairil Azmin
Khairil Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang mengaibkan pihak lain sehingga menimbulkan fitnah tidak kira sama ada dalam bentuk lisan atau mana-mana terbitan secara kekal boleh berdepan tindakan undang-undang sivil (saman fitnah) sekiranya perbuatan tersebut dikenal pasti menjatuhkan reputasi pihak yang diaibkan.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, tort fitnah prinsip-prinsip dalam undang-undang fitnah boleh dilihat dalam Comman Law, namun di Malaysia terdapat juga Akta Fitnah 1957 (Defamation Act 1957) yang mengawal selia tuntutan fitnah di bawah undang-undang sivil.

Manakala, fitnah dalam undang-undang jenayah pula merujuk kepada Kanun Keseksaan, Seksyen 499 hingga Seksyen 502.

Bagaimanapun jelas beliau, penting untuk mengenal pasti kategori fitnah yang dinyatakan kerana undang-undang mengenakan tanggungan berbeza.

"Fitnah ini boleh dikategorikan kepada dua iaitu libel dan juga slander. Libel adalah fitnah-fitnah yang dilemparkan dalam bentuk yang kekal seperti di buku, majalah, video, filem, tugu dan sebagainya.

"Manakala slander pula merujuk kepada fitnah yang disampaikan dalam bentuk kata-kata lisan atau gerak gaya.

"Satu tuntutan bagi fitnah yang dilakukan secara slander hanya boleh dibuat jika orang yang menuntut dapat menunjukkan kerugian khas (kecuali dalam kes-kes tertentu).

"Tetapi dalam libel undang-undang menganggap kerugian telah dialami dan tuntutan boleh dibuat apabila sahaja yang dituntut membuat fitnah secara libel," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah sebarang tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap seorang wanita yang bertindak membuat kekecohan termasuk meninggikan suara kepada pekerja di sebuah kedai rangkaian 24 jam kerana bertindak mempertahankan anaknya yang dituduh mencuri.

Wanita itu juga telah bertindak membuat siaran langsung melalui media sosial miliknya sekaligus menimbulkan pertikaian netizen yang menganggap tindakan tersebut sebagai mengaibkan nama baik syarikat berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin berkata, kenyataan yang membawa kemarahan sahaja tidak mencukupi untuk dijadikan asas bagi tuntutan dalam tort fitnah.

"Ia hendaklah menjatuhkan reputasi seseorang di mata masyarakat atau telah mengakibatkan kerugian dari segi profesion seseorang.

"Oleh itu, setelah dikenal pasti akan sesuatu kenyataan itu sebagai satu fitnah, maka soalan yang ditanyakan adalah: Adakah ia boleh merendahkan reputasi dan martabat orang yang difitnah di mata masyarakat?," katanya.

Jelas beliau lagi, terdapat tiga persoalan yang harus dilihat dan ditanya dalam menentukan sama ada sesuatu tuntutan fitnah boleh dibuat atau tidak.

"Tiga persoalan itu adalah, adakah terdapatnya kenyataan fitnah? adakah kenyataan itu merujuk kepada orang yang menuntut (Claimant)? dan adakah kenyataan itu telah diterbitkan atau sampai kepengetahuan pihak ketiga?," katanya.