23 pengunjung, seorang penjaga pusat karaoke dikompaun langgar SOP
PETALING JAYA - Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM24,000 kepada 23 pengunjung dan seorang penjaga sebuah pusat karaoke di sini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua individu itu dikenakan kompaun RM 1,000 setiap seorang.
"Hasil serbuan pada jam 1.50 pagi itu, kita mendapati kesemua pengunjung termasuk lima wanita warga asing sedang leka berhibur.
"Kita mendapati pusat hiburan itu telah melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4 2021," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mohamad Fakhrudin berkata, pusat karaoke itu dipercayai mula beroperasi 10 malam hingga 6 pagi setiap Khamis hingga Ahad.
"Modus operandi pusat karaoke itu adalah mereka hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja untuk masuk ke dalam premis.
"Kita turut mendapati pintu rahsia bagi memudahkan pelanggan melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19
"Operasi sebegini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha mengawal penularan wabak Covid 19 demi kesejahteraan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!