[VIDEO] Tidak halang SPR longgarkan SOP pakai pelitup muka ketika ceramah
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai masalah sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu melakukan sedikit tambah baik terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka ketika ceramah berkempen.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pendirian KKM itu telah dimaklumkan kepada SPR pada Ahad.
"KKM tiada halangan sekiranya SPR nak ubah sikit SOP untuk (individu) yang sedang berucap sekiranya tidak ada orang sekeliling yang rapat jarak dan dengan jarak yang sesuai, dia boleh buka pelitup muka.
"Sebab itu SOP yang sering digunakan di tempat lain, acara-acara rasmi dan sebagainya.
"Tapi penonton itu kena kekal dengan pelitup muka. Jadi saya dah beritahu, mungkin insya-ALLAH hari ini akan dibuat pindaan sikit pada SOP tersebut," katanya ketika ditemui program jelajah bertemu pengundi di Kampung Lukut, di sini, pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ditegur pegawai dipercayai daripada KKM yang meminta beliau memakai pelitup muka ketika berceramah kempen PRN Johor di Larkin.
Difahamkan, teguran itu berkaitan dengan SOP pemakaian pelitup muka yang ditetapkan oleh SPR ketika berceramah.
Dalam pada itu, Khairy berkata, secara keseluruhannya pematuhan SOP pada PRN kali ini secara berada pada tahap yang baik.
Bagaimanapun, beliau berkata, KKM akan sentiasa mengeluarkan kompaun kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP yang ditetapkan.
Jelas beliau, KKM turut mengambil tindakan terhadap pelanggaran SOP yang dilaporkan di sosial media.
"Jangan ingat kita tidak bertindak atas hantaran yang dibuat di media sosial.
"Kalau kita dapati bahawa hantaran itu sahih, maka pegawai saya akan siasat dan kita akan keluarkan kompaun," ujarnya.
@sinarharianonline Yang penting jaga SOP okay! #fyp#TikTokNews#ViralNewsMalaysia#BuletinTikTok#PRNJohor#SOP original sound Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!