Tindakan Laili tidak jejaskan Bersatu di PRN Johor
KUALA PILAH - Tindakan Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mersing, Laili Yusof keluar daripada parti dan menyertai UMNO sedikit pun tidak menjejaskan gerak kerja parti itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tindakan Laili tidak menggambarkan pendirian keseluruhan pemimpin dan ahli Bersatu di Mersing.
"Satu dua orang yang keluar parti terpulang. Lagipun kalau 'seekor ayam tidak berkokok hari tetap akan siang'.
"Jadi tak perlu risau sebab setakat ini kita berpuas hati dengan maklum balas diberikan pengundi Johor kepada Bersatu," katanya ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran Melang di sini pada Ahad.
Menurutnya, pengundi di Johor semestinya bijak untuk menentukan kepada siapa mandat kerajaan perlu diberikan dengan menilai pencapaian ditunjukkan oleh parti masing-masing.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, tindakan pemimpin tertentu lompat parti adalah perkara biasa sekarang dan ia turut berlaku kepada UMNO.
"Kalau isu ini (Laili sertai UMNO) tidak pula UMNO sebut sebagai pengkhianat kerana ia beri kelebihan kepada UMNO.
"Tapi yang mereka tafsirkan sebagai pengkhianatan apabila sesuatu tindakan itu menjejaskan perjuangan dan tidak menguntungkan mereka.
"Bagi saya, ia terpulang kepada pendirian dan matlamat seseorang pemimpin itu," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Laili mengumumkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Bersatu.
Pengumuman itu dibuat pada majlis makan tengah hari yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Youzaimi Yusof.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!