Rumah dihanyut banjir, mangsa tumpang teduh di surau

Mariam menunjukkan rumahnya di Kampung Tersang yang musnah akibat dihanyutkan arus banjir.
Mariam menunjukkan rumahnya di Kampung Tersang yang musnah akibat dihanyutkan arus banjir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penghuni lima buah rumah yang musnah akibat dihanyutkan arus banjir di Kampung Tersang di sini pada 26 Februari lalu terpaksa menumpang teduh di surau dan rumah saudara mara.

Ia berikutan setelah sembilan hari bencana itu berlaku, banjir di lokasi berkenaan masih belum surut dan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa.

Warga emas, Mariam Mamat, 80, mendakwa terpaksa menjadikan surau sebagai tempat berlindung selepas rumahnya musnah dihanyutkan arus banjir.

Dia mendapat perkhabaran duka itu selepas dua hari berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Deh.

"Perasaan sedih hilang rumah tidak dapat saya gambarkan.

Hal ini kerana rumah itu satu-satunya tempat berlindung untuk saya dan anak.

"Saya orang susah, nak bina rumah baharu memang tidak mampu.

Bila bercakap soal keadaan rumah, hati saya akan menjadi sayu," katanya ketika tinjauan Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, banjir yang melanda minggu lalu disifatkan paling buruk sejak menetap di Kampung Tersang 65 tahun lalu.

Mohd Rozi hanya mampu duduk di atas tangga yang masih lagi kekal ada selepas rumahnya dihanyutkan arus banjir pada Ahad.
Mohd Rozi hanya mampu duduk di atas tangga yang masih lagi kekal ada selepas rumahnya dihanyutkan arus banjir pada Ahad.

Katanya, peningkatan paras air yang terlalu cepat menyebabkan penduduk tidak sempat untuk berkemas selepas berdepan situasi sama penghujung Disember tahun lalu.

Seorang lagi mangsa, Mohd Rozi Zakaria, 54, mengakui sebak melihat rumah tempat dia membesar ranap dihanyutkan arus desar banjir semasa berada di PPS.

Katanya, kejadian itu diketahui pada jam 6 petang selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat pada Ahad.

"Buat masa ini saya bersama isteri dan enam anak menumpang di rumah ibu buat sementara waktu.

"Kami dimaklumkan akan menerima rumah baharu sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu, tetapi bila, ia belum diputuskan lagi," katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan bekerja kampung dia tidak mampu untuk membaik pulih atau membina rumah baharu.

Sementara itu, Norsulida Ariffin, 44, turut bersedih dengan apa yang berlaku selepas rumah ibunya turut runtuh dihanyut arus banjir.

"Rumah ini meninggalkan banyak kenangan kepada saya dan adik beradik yang membesar di sini.

"Harapan kami rumah yang musnah ini dapat dibina balik kerana hanya ia merupakan harta peninggalan ayah kepada kami sekeluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!