Pemuda positif Covid-19 antara dua cedera dalam kemalangan
LIPIS - Dua pemuda cedera termasuk salah seorangnya disahkan positif Covid-19 selepas kereta yang dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lipis-Benta berhampiran Kampung Sallang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kejadian melibatkan dua buah kereta jenis Proton Persona.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut dari orang awam pada jam 9.05 pagi.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 21 tahun dalam perjalanan dari arah Lipis dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah Proton Persona lain yang dipandu lelaki berusia 29 tahun.
"Kedua-dua pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, pemandu yang berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.
"Pemandu berusia 29 tahun cedera pada muka dan kepala selain saringan awal Covid-19 didapati positif," jelasnya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!