Banjir Kelantan semakin pulih
RANTAU PANJANG - Banjir di Kelantan semakin pulih apabila hanya 1,337 mangsa banjir daripada 382 keluarga yang ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang Ahad.
InfoBencanaJKM melaporkan tiga PPS itu ialah di jajahan Pasir Mas iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 912 orang, SK Gual Periok (370) dan SK Kedai Tanjong (55).
Tinjauan Sinar Harian di Rantau Panjang mendapati penduduk setempat kini sibuk membersihkan rumah selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang menyampaikan sumbangan kepada mangsa.
Sementara itu, warga Zawiah Umat, 67, yang ditemui mengakui banjir minggu lalu adalah yang terburuk kerana sebelum ini dia tidak pernah berpindah.
"Tahun ini air naik terlalu cepat dan menenggelamkan rumah saya," katanya.
Menurutnya, tidak banyak barang yang dapat diselamatkan kerana banjir berlaku diluar jangkaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!