Tak perlu khuatir untuk belajar memanah jika tiada peralatan
RAUB - Orang ramai di sini yang berminat mempelajari dan menceburi aktiviti sukan memanah tradisional tidak perlu risau jika tidak mempunyai peralatan berkaitan.
Presiden Kelab Memanah Al-Walid, Mohd Azrulnizam Jasmani berkata, mereka yang tidak mempunyai peralatan memanah boleh menggunakan kemudahan dan peralatan yang disediakan oleh kelab tersebut.
Menurutnya, ia antara inisiatif dan usaha kelab tersebut bagi memupuk minat orang ramai dalam sukan memanah tradisional di daerah ini.
"Mereka boleh menggunakan peralatan memanah yang dihasilkan sendiri oleh kelab ini.
"Bagi saya, ia motivasi awal supaya mereka dapat mempelajari kemahiran sebelum jatuh cinta dengan sukan ini seterusnya memiliki peralatan sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujarnya, latihan kelab itu berpusat di Taman Kemajuan di sini mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.
"Selepas hampir tiga tahun ditubuhkan, kelab ini menarik minat penggemarnya daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
"Paling muda setakat ini tujuh tahun dan paling tua berusia lebih 50 tahun yang datang mempelajari sukan ini," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, kelab berkenaan juga turut aktif menyertai pelbagai pertandingan di dalam dan luar Pahang selain menganjurkan pertandingan tertutup sekitar Raub.
"Kami berhasrat untuk menjadikan pusat latihan di Taman Kenangan sebagai lokasi utama sukan memanah tradisional di Raub.
"Lagipun sukan ini adalah sunah Rasulullah SAW selain dapat pahala, ia bagus untuk kesihatan fizikal dan mental," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!