Rumah urut & undang-undang kita
MENARIK, tetapi bukan mengejutkan, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua balai polis kerana disyaki melindungi premis maksiat di ibu kota.
Tindakan agensi anti-suap itu hanya mengesahkan andaian – dan kemarahan – umum selama ini bahawa pihak berkuasa, khasnya polis, memang mendalangi beberapa kegiatan tidak sihat sekitar KL.
Seperti yang dilaporkan Bernama, 16 individu ditahan dan direman kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut.
Selain pegawai polis yang menjadi ketua balai, turut ditahan di lokasi berasingan sekitar Lembah Klang itu ialah pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), juga pegawai bomba dan penyelamat. Tauke-tauke yang menyediakan tukang-tukang urut warga asing itu dikatakan menyogok minimum RM1,000 sebulan kepada setiap suspek sebagai wang perlindungan.
Cakap-cakap bahawa pegawai beberapa agensi, khasnya polis dan DBKL, terlibat dengan sindiket maksiat di bandar raya ini sudah kedengaran sejak sekian lama.
Walaupun dari semasa ke semasa ada serbuan dilakukan terhadap pusat-pusat urut dan premis-premis hiburan, umum merasakan semua itu tidak lebih hanya acah-acah untuk menutup mata.
Selalu ada persepsi bahawa serbuan-serbuan itu hanyalah untuk publisiti dalam media kononnya pihak berkuasa berusaha untuk membersihkan KL daripada maksiat.
Tetapi semua orang tahu kalau ada satu yang diserbu, dua atau tiga lagi pusat maksiat baharu akan muncul. Semua tahu lebih banyak yang beroperasi secara gelap berbanding yang berlesen.
Kalau TV memaparkan tiga, empat gadis dan wanita warga asing ditangkap serta diangkut ke dalam ‘Black Maria’ kerana menjadi gadis penghibur, umum tahu itu hanya permainan songlap publisiti.
Sebab umum sudah menduga jika tiga, empat orang pekerja seks warga asing ditangkap, ada beratus-ratus lagi masuk menggunakan pas pelancong untuk menjadi penghibur di rumah-rumah maksiat.
Malah bukan rahsia lagi ada beribu yang masuk menggunakan visa pelancong tidak pulang-pulang ke negara asal, kerana menjadi pelacur lebih lumayan – dan selamat – daripada menjadi pelancong.
Sama ada yang berlesen atau yang bergerak secara gelap, pusat-pusat hiburan, termasuk premis-premis urut adalah satu perniagaan yang lumayan dan terus berkembang di KL khasnya dan di bandar-bandar utama di seluruh negara.
Berselindung di sebalik nama pusat hiburan, pusat kesihatan, rumah urut dan sebagainya, apa yang ditawarkan kepada pengunjung lebih daripada sekadar hiburan dan urutan.
Tempat-tempat seperti ini dikunjungi bukan hanya untuk menyanyi dan minum-minum, tetapi untuk memuaskan nafsu bersama pekerja seks yang memakai label pelayan, GRO dan sebagainya.
Malah, lebih daripada habuan seks kepada pengunjung pusat-pusat seperti ini juga menjadi sarang pengedaran dan pengambilan dadah, juga markas perjudian.
Baik pelacuran, perjudian dan pengedaran dadah, semuanya diatur secara licik oleh sindiket yang rangkaiannya bagai tidak terkesan oleh pihak berkuasa.
Memang ada peraturan dan undang-undang dikenakan ke atas pemilik-pemilik premis urut dan hiburan. Tetapi sering kali peraturan diingkari, hinggakan ke tahap tidak terkawal.
Nampak sangat kita tidak tegas dalam mendisiplinkan pemilik premis. Seperti yang selalu disiarkan media, penguat kuasa kita menyerbu dan memberi amaran, tetapi tidak ada tindakan.
Maka ada pusat hiburan yang telah diserbu dan diberi amaran lebih sepuluh kali, tetapi tetap beroperasi seperti biasa. Lesen tidak ditarik, premis tidak disita.
Banyak pusat hiburan, termasuk premis urut, beroperasi melewati waktu yang dibenarkan. Malah, ada yang terus berseronok dan berpesta hingga ke subuh.
Ada premis yang tidak mematuhi syarat kelulusan bomba, dan peraturan-peraturan keselamatan yang lain. Tetapi berani beroperasi seperti biasa sebab pemiliknya tahu tidak ada siapa yang memeriksa. Lebih teruk lagi premis-premis hiburan tidak berlesen yang pemiliknya beranggapan negara ini tidak ada undang-undang. Mereka berani – dan biadab – sebab berasa mereka sentiasa ada wang untuk merasuah pihak berkuasa.
Nampak sangat penguat kuasa kita terlalu lembap, macam takut untuk bertindak. Agaknya semua mereka telah dirasuah! Tindakan SPRM menangkap suspek dalam kes premis urut baru-baru ini sepatutnya menjadi pembuka mata bahawa pusat-pusat hiburan perlu mematuhi undang-undang.
Maka agensi penguat kuasa – polis, DBKL, bomba, imigresen dan sebagainya – patut sekali menguatkuasakan undang-undang tanpa memilih bulu, dan tanpa sogokan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!