Covid-19: Tidak perlu ujian ulangan selepas selesai kuarantin

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan ujian ulangan tidak perlu bagi individu positif Covid-19 yang selesai menjalani kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian yang sangat sensitif seperti Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) masih dapat mengesan kehadiran bahan genetik virus pada sampel saluran pernafasan sehingga dua hingga tiga bulan setelah dijangkiti.

"Misalnya dalam tempoh viral shedding. Namun, virus tersebut sudah tidak dapat membiak dan individu tersebut tidak mungkin boleh menyebarkan jangkitan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau juga memaklumkan ujian Covid-19 Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) (kendiri dan profesional) boleh mengesan jangkitan wabak itu pada hari ketiga hingga ketujuh selepas terdedah kepada pesakit Covid-19.

Selain itu, ujian RT-PCR boleh mengesan jangkitan seawal hari kedua hingga ke-14 selepas dijangkiti, justeru, ketepatan kedua-dua jenis ujian itu bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil.

"Penggunaan RTK-Ag adalah disarankan kepada individu bergejala atau berada dalam kumpulan berisiko tinggi sekiranya tidak bergejala.

"RTK-Ag membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan Covid-19 kerana kaedah ini adalah ringkas, mudah, murah, dan boleh dilakukan di lapangan dan proses pengujian adalah pantas dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam masa 20 hingga 30 minit," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pesakit yang dikesan positif RTK-Ag kendiri perlu melaporkan keputusan ujian melalui aplikasi MySejahtera, mengemas kini status kesihatan (Home Assessment Tool) dan perlu menjalani isolasi seperti yang ditetapkan KKM.

Artikel Berkaitan:

Katanya bagi ujian RT-PCR dan RTK-Ag profesional pula, pihak makmal atau pengamal perubatan yang menjalankan ujian tersebut perlu melaporkannya segera kepada KKM melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

"KKM menyarankan semua ujian RTK-Ag kendiri atau professional ataupun RT-PCR yang dijalankan perlu dilaporkan kepada KKM melalui MySejahtera atau SIMKA, tidak kira sama ada keputusannya adalah positif atau negatif, bagi membantu KKM mendapatkan gambaran lebih jelas kadar jangkitan yang berlaku dalam komuniti," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!