Belanja RM10 juta naik taraf tandas rumah ibadat seluruh negara

Tuan Ibrahim (kiri) menandatangani plak Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Tandas di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji di Kota Bharu pada Ahad.
Tuan Ibrahim (kiri) menandatangani plak Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Tandas di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan membelanjakan RM10 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sebanyak 485 fasiliti tandas awam di rumah-rumah ibadat pelbagai agama di seluruh negara bermula April lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif di bawah kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan diuruskan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd itu bertujuan memastikan sistem pembetungan dan kumbahan lebih efisen, mesra alam serta cekap penggunaan air.

Katanya, kerja penambahbaikan itu turut memberi tumpuan kepada penyelenggaraan tangki septik yang secara amnya diguna pakai di kebanyakan rumah ibadat dan berkait rapat dengan isu kesihatan sejagat.

“Sehingga Februari, sebanyak 84 peratus atau sejumlah 407 kerja naik taraf dan pembaikan tandas di rumah ibadat siap manakala baki 12 peratus atau 78 lagi dijangka siap pada Mei ini.

“Projek Fasa 1 bagi tahun 2022 ini menelan belanja RM10 juta melalui peruntukan dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) SPAN dengan kos purata setiap tandas antara RM20,000 sehingga RM30,000 bergantung saiz dan kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Tandas di Rumah Ibadat di Madrasah Haji Junoh di Kampung Paya Keranji di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Operasi Wilayah Utara dan Pantai Timur IWK, Hussain Omar.

Ujar beliau, penyelenggaran dan pengosongan tangki septik secara konsisten menjadi agenda utama bagi mengelakkan pencemaran terutama bagi lokasi yang mempunyai peratusan tinggi penggunaan air dalam tanah termasuk perigi dan telaga tiub.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya di Kelantan, negeri yang tertinggi penggunaan air bawah tanah menyebabkan kawalan dan penyelenggaran terhadap kumbahan perlu ditingkatkan agar tidak mencemarkan sumber air yang diperolehi.

“Projek dilaksanakan dengan berjaya dan akan diteruskan ke Fasa 2 dengan cadangan peruntukan dana berjumlah RM20juta melibatkan dua kali ganda fasiliti tandas awam yang akan dinaik taraf,” katanya.

Tambahnya, projek naik taraf turut membuka peluang kepada 485 kontraktor tempatan yang berkelayakan yang dilantik bagi melaksanakan inisiatif itu.

“Kontraktor-kontraktor terdiri daripada mereka yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) dan pemegang permit C4 yang berdaftar dengan SPAN.

“Penambahbaikan ini diharap memberi keselesaan kepada orang ramai, menggalakkan amalan kebersihan, penjimatan air sekali gus melestarikan alam sekitar seiring usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan kualiti dan ekonomi hidup rakyat selaras Pelan Pemulihan Negara serta dasar penyayang Keluarga Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!