Kerajaan pantau kenaikan harga minyak, gandum
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, seperti yang semua sedia maklum harga minyak di negara ini diberi subsidi oleh kerajaan terutama RON95 dan diesel.
"Banyak negara harga minyak sudah mencecah RM10 untuk satu liter terutama di Amerika dan Eropah serta negara-negara lain yang tidak mempunyai subsidi.
"Hal ini kerana minyak yang dijual di negara berkenaan mengikut harga pasaran dunia," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di sini pada Ahad.
Hadir sama Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sejumlah subsidi yang besar dalam membendung kenaikan harga bahan mentah itu.
Beliau berkata, kerajaan akan memanfaatkan kenaikan harga komoditi seperti minyak kelapa sawit dan getah untuk menampung subsidi yang diberikan kepada rakyat.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, kerajaan akan terus memberi galakan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menggunakan platform digital dalam urusan perniagaan mereka.
"Hari ini kita bersama kerajaan negeri dan pihak swasta serta persatuan peniaga sudah memulakan urus niaga tanpa tunai.
"Satu permulaan yang baik. Kita ada 1.1 juta PMKS di seluruh negara, sebab itulah kerajaan akan memperkasakan lagi pusat internet bagi memastikan usaha ini berjaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!