Persefahaman, perkongsian kuasa BN terbukti pada PRN Johor
JOHOR BAHRU - Keputusan UMNO meletakkan calon di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bukan 42 sebagaimana diumumkan sebelum ini, merupakan manifestasi kekuatan persefahaman antara parti komponen Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Johor dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, keputusan UMNO berkenaan bilangan calonnya pada PRN Johor kali ini didorong oleh semangat BN, dan kejituan konsep perkongsian kuasa yang menjadi amalan serta tonggak parti itu selama ini.
"Kita berpegang kepada konsep kongsi kuasa ini, walaupun (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan mengatakan UMNO perlu bertanding 42 kerusi, itu hasrat kita.
"Kita akan cuba cadangkan (bertanding di 42 kerusi), kita akan cuba dapatkan tetapi akhirnya apabila di atas semangat BN, di atas semangat kita faham tentang negeri Johor ini tadi, mungkin Melaka berbeza kerana suasana dan keadaan,” katanya ketika ditemuramah oleh moderator Irfan Faruqi dalam program Suara Johor terbitan Bernama TV yang disiarkan pada Ahad.
Akhir bulan lepas, Mohamad mengatakan bahawa UMNO akan meletakkan 42 calon pada PRN Johor, tetapi dua hari sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari, parti itu mengumumkan calon-calonnya akan hanya bertanding di 37 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Ia adalah tambahan dua kerusi berbanding 35 yang ditandingi oleh calon-calon UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
PRN Johor akan menyaksikan calon-calon MCA bertanding di 15 kerusi, manakala MIC di empat DUN.
Menurut Hasni lagi, di dalam soal pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen BN mereka cuba untuk mencari titik pertemuan, yang dapat memperkukuhkan lagi usaha mencapai keputusan terbaik bagi memastikan parti memperoleh kemenangan.
"Ada yang mengatakan kenapa MCA perlu bertanding 15 (kerusi pada PRN Johor). Pada PRU14 dulu, 15 kerusi bertanding, kosong, tiada satu kerusi pun menang. Gerakan sewaktu menjadi rakan dalam BN, dua kerusi bertanding, tiada satu kerusi pun menang.
"Jadi, kenapa harus kita kekalkan MCA bertanding 15 kerusi?” katanya sambil menambah, apabila persoalan-persoalan sebegini berbangkit maka BN akan berbalik kepada konsep perkongsian kuasa dan semangat BN yang menjadi pegangan parti itu sejak ia ditubuhkan.
Hasni berkata, oleh kerana persefahaman yang utuh di antara parti-parti komponen BN, hasrat parti untuk mengetengahkan 30 peratus calon wanita pada PRN Johor kali ini juga, berjaya direalisasikan berbanding parti-parti yang lain."Ada pihak melaungkan sahaja, hendak 30 peratus suara wanita, tapi calon wanita yang diketengahkan adalah dua tiga kerat sahaja.
"Kita (BN) tidak bising tentang soal mengiktiraf suara wanita, peranan wanita, kita sediakan hampir 30 peratus yang menjadi calon wanita (BN pada PRN Johor). Insya-Allah, mereka akan menjadi sebahagian daripada pembuat dasar di negeri Johor ini,” kata Hasni.
Pendirian BN terhadap calon muda juga adalah sama, di mana parti itu katanya akan mengetengahkan pemimpin-pemimpin mudanya sebagai calon parti, sama ada di peringkat di DUN atau Parlimen.
Pada PRN Johor kali ini, BN mengiktiraf kebolehan pemimpin-pemimpin mudanya dengan meletakkan Kelly Chye Pei Yee yang baru berusia 26 tahun sebagai calonnya di DUN Mengkibol, untuk muncul sebagai calon termuda pada pilihan raya negeri ini.
BN Johor menurut Hasni, faham tentang apa yang perlu dilakukan untuk membangunkan Johor."Kita mempunyai keyakinan yang tinggi, ia bukan tidak berasas (tetapi) berasas. Oleh kerana lamanya kita bergelumang dengan masyarakat di bawah, lamanya kita dalam segi merangka perancangan-perancangan untuk kepentingan rakyat di bawah.
"Maka atas dasar itulah, saya rasa pilihan raya kali ini BN, saya percaya akan menjadi pilihan rakyat,” katanya dan menambah bahawa pentadbiran kerajaan negeri perlu memiliki integriti dan keupayaan yang tinggi, selain kebolehan yang meluas untuk melaksana dasar-dasar.
Pengerusi BN Johor dan Menteri Besar itu juga menyentuh tentang reformasi politik terutamanya berkenaan tindakan ‘lompat’ parti dalam kalangan beberapa ahli politik.
"Kita perlu menjadi ahli parti yang setia. Jikalau itu tidak difahami, mengapa kita perlu bercakap tentang soal integriti. Sebab itu reformasi politik perlu dibuat,” katanya sambil menambah tindakan sesetengah ahli politik ‘melompat’ perlu dihentikan.
Hasni juga berkata reformasi politik juga perlu dilakukan bagi menangani isu ketidakseimbangan sesetengah kawasan DUN, yang memiliki lebih dari 100,000 pengundi tetapi diuruskan oleh seorang wakil rakyat, berbanding sesetengah kawasan DUN yang hanya mempunyai 30,000 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!