Roslan Bek Timbalan Ketua Polis KL baharu
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Kepolisan Am) Bukit Aman, Datuk Roslan Bek Ahmad mendahului senarai pertukaran pegawai yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.
Ia susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berhubung pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan tujuh pegawai kanannya yang berkuat kuasa 22 April depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, kekosongan jawatan Roslan Bek akan diisi oleh Ketua Penolong Pengarah (Gerakan), Bahagian Gerakan, Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Zulkifli Salleh dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Pertukaran seterusnya melibatkan Ketua Penolong Pengarah (D3), Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Nadzri Hussain pula akan bertukar ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber).
“Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Senior Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman pula akan mengisi kekosongan jawatan Zulkifli di Jabatan KDNKA Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Asmawati berkata, Timbalan Ketua JSJ (Siasatan/Perundangan) IPK Sabah, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Tambahnya, Pegawai Turus (D7) (Pencegahan/Tahanan), JSJ Selangor, Deputi Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin pula akan memangku pangkat Superintendan dengan jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Perak.
“Selain itu, Timbalan Ketua Polis Daerah (Kepolisan Am) Iskandar Puteri, Johor, Deputi Superintenden M Kumarasan akan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ketua JSPT Johor dengan memangku pangkat Superintenden,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!