Tiada dominasi peniaga asing di pasar tani

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

SEPANG - Penguasaan peniaga asing tidak akan dibenarkan berlaku di pasar tani di bawah penyeliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seperti yang terjadi di pasar-pasar borong, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, FAMA telah diarah membuat ‘pembersihan’ dengan melakukan pemeriksaan terhadap kesemua pasar tani bagi menentukan pemegang lesen tidak menyewakannya kepada orang lain.

“Kita akan periksa semua pemegang lesen. InsyaAllah dengan cara itu, pasar tani tidak lagi akan jadi seperti pasar borong yang kita boleh lihat didominasi orang asing,” katanya dalam sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang FAMA di sini hari ini.

Sehingga Januari lepas, FAMA mengendalikan 746 pasar tani di seluruh negara yang melibatkan lebih 30,000 peniaga.

Salahuddin berkata kementerian merancang menaik taraf pasar tani bagi menjadikannya lebih berdaya saing dan diisi sepenuhnya oleh usahawan tani tempatan.

"Penstrukturan semula pasar tani yang sedang dilaksanakan antara lain turut menekankan perubahan dari aspek rupa, kebersihan dan kepelbagaian produk pertanian agar lebih menarik dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata FAMA berjaya mencatat nilai jualan RM2.9 bilion pada tahun lepas melalui 2,755 outlet pemasaran di seluruh negara yang membabitkan 68,988 usahawan tani.

“Untuk tahun ini, FAMA menyasarkan peningkatan nilai jualan 10 peratus antara lain dibantu oleh pembukaan 133 outlet pamasaran baharu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Selain penambahan outlet, sasaran itu juga berasaskan kepada peluasan pamasaran secara dalam talian menerusi portal Angrobazar Online yang sedang diperkasakan," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!