Dikejar anjing liar ketika berjalan

Kehadiran anjing liar di Taman Desa Seringin, Nilai membimbangkan penduduk.
Kehadiran anjing liar di Taman Desa Seringin, Nilai membimbangkan penduduk.
A
A
A
SEREMBAN - Sudah banyak kali aduan dibuat, namun sehingga kini masalah anjing liar yang membelenggu penduduk di Taman Desa Seringin di sini, masih belum berkesudahan.

Lebih membimbangkan mereka apabila terdapat dua kes kanak-kanak hampir menjadi mangsa serangan haiwan berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Kebersihan dan Kebajikan taman, Mohd Zollkarnaen Sujiman, 34, berkata, mereka buntu memikirkan tindakan lanjut yang boleh diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Tahun ini saja, sudah 10 aduan yang saya buat kepada pihak berwajib. Ia belum lagi termasuk aduan yang dibuat oleh penduduk lain.

“Kami dah tak boleh nak hidup lagi dengan keadaan macam ini. Saya sendiri pernah ada pengalaman dikejar anjing ketika berjalan di kawasan perumahan dengan anak dan saya rasa ramai lagi penduduk alami pengalaman menakutkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zollkarnaen berkata, paling merisaukan apabila anjing berkenaan akan berkeliaran sehingga 10 ekor pada satu-satu masa dan ada kalanya bertindak agresif.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang untuk keluar rumah selain turut menjejaskan pemandangan.

“Takkanlah bila dah ada yang kena gigit atau betul-betul diserang, baru tindakan nak diambil. Saya tak rasa anjing itu ada pemilik kerana ia dibiarkan berkeliaran.

“Kami nak ambil tindakan sendiri, nanti bimbang jadi isu pula. Saya merayu dan berharap sangat pihak bertanggungjawab dapat ambil tindakan segera,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Zazali Salehudin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan anjing liar dan kini dalam proses mengambil tindakan.

Katanya, sebuah tempat khusus untuk menempatkan kesemua anjing yang akan ditangkap itu sedang disiapkan di Kuala Sawah, Rantau.

“MPN dah pun lantik kontraktor yang akan bertanggungjawab menangkap anjing liar ini.

“Apa yang menjadi kekangan kita sekarang kerana tempat tinggal untuk haiwan itu yang sedang dibina masih belum siap,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap penduduk bersabar dan memahami masalah dihadapi MPN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!