Kelantan FC perlu kekal momentum

Pemain Kelantan mempamerkan prestasi terbaik pada aksi berdepan JDT II. - Foto Johor Southern Tigers
Pemain Kelantan mempamerkan prestasi terbaik pada aksi berdepan JDT II. - Foto Johor Southern Tigers
A
A
A

BIARPUN berpuas hati dengan aksi dipersembahkan pemain ketika menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu namun pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.

Menurutnya, momentum kemenangan berkenaan perlu dikekalkan oleh pemain kerana skuad The Red Warriors (TRW) yang bakal berdepan skuad dari saingan Liga Super, PJ City FC bagi saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 13 Mac.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini.

“Bagaimanapun saya melihat masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki dalam usaha meneruskan momentum kemenangan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan pada Sabtu.

Pada aksi di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin itu, skuad TRW itu membuka jaringan seawal minit ketujuh hasil jaringan Natanael Siringo Ringo.

Pemain JDT, Daryl Sham kemudian menjaringkan gol penyamaan buat JDT II pada minit ke-74 sebelum pemain gantian Kelantan FC, Jasmir Mehat, muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Sementara itu Rezal Zambery berharap kesemua pemain dapat meningkatkan prestasi menjelang perlawanan akan datang bagi memastikan Kelantan FC mampu melakar kejayaan yang diharapkan.

“Selain memperbaiki kekurangan yang ada dan meneruskan momentum kemenangan, saya juga berharap pemain dapat memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!