Jinq En masih belum puas hati biarpun raih emas ketiga
PERENANG wanita negara, Phee Jinq En menyifatkan banyak aspek perlu diperbaiki biarpun berjaya meraih emas acara 50 meter (m) kuak dada wanita pada hari terakhir Kejohanan Terbuka Malaysia ke-64 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Ahad.
Jinq En, 24, yang mewakili Selangor mencatat masa 32.77 saat (s) untuk mengetepikan cabaran Tan Rouxin dari Johor di tempat kedua dengan catatan masa 33:66s.
Tempat ketiga diraih perenang Kuala Lumpur, Elsa Eow yang mencatat masa 35:05s.
Catatan masa dilakar pemenang emas Sukan SEA 2019 di Filipina bagi acara itu sekali gus melayakkan beliau bagi kategori B ke Sukan SEA Hanoi, Mei depan.
"Emas ketiga namun saya tidak berapa gembira dengan catatan masa diraih dalam ketiga-tiga acara yang saya sertai dalam kejohanan ini. Ada banyak lagi perlu diperbaiki sebelum Sukan SEA berlangsung.
"Walaubagaimanapun saya menyaksikan ada sedikit perkembangan dari segi persembahan saya selepas kembali ke dalam skuad negara,” katanya kepada Bernama selepas aksinya pada Ahad.Jinq En sebelum ini turut meraih emas acara 100m kuak dada wanita pada hari pertama kejohanan (Khamis) sebelum meraih emas kedua dalam acara 200m kuak dada keesokan harinya.
Sementara itu, perenang muda meningkat naik Khiew Hoe Yean mewakili Kuala Lumpur melengkapkan emas keenamnya pada kejohanan itu selepas mengunguli acara 1,500m gaya bebas lelaki dengan mencatat masa 15 minit 30:90s.
Emas diperoleh Hoe Yean itu juga mudah diraih selepas pencabarnya Olimpian negara Welson Sim membuat keputusan menarik diri daripada menyertai acara tersebut di saat akhir.
Tempat kedua acara itu diraih Jayden Tan Khai Xin dari Kuala Lumpur dengan catatan 15:56:87s sementara tempat ketiga menjadi milik perenang Melaka Low Zheng Yong yang merekod masa 16:02:02s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!