Isu Felda jadi bahan kempen, Azmin ajak Najib berdebat
PERDEBATAN mengenai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menggamatkan suasana kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Bermula dengan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat isu berkenaan pada Ahad telah menjadi tajuk utama muka depan Sinar Harian pada Isnin.
Mohamed Azmin mendakwa, Felda telah dimusnahkan ketika zaman pentadbiran Ahli Parlimen Pekan itu dan beliau mempunyai fakta bagaimana pembelian banyak hartanah di luar negara seperti di Kensington, Sarawak dan sebagainya.
“Itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Kertas Putih itu telah pun membuktikan bahawa pengkhianatan terhadap peneroka Felda," dakwanya.
Tidak berdiam diri, bekas Perdana Menteri itu dalam reaksi segera terhadap cabaran Mohamed Azmin berkata, adalah lebih baik untuknya bersemuka dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin jika mahu berdebat isu Felda
Malah beliau turut menyindir wajah Ketua Penerangan PN itu ‘kabur’ untuk berdebat.
"Saya nak berdebat dengan dia (Azmin). Tetapi muka dia kabur, tak berapa jelas dalam video. Susahlah nak berdebat dengan orang muka yang tak berapa jelas," katanya ketika berkempen di Machap, Johor pada Ahad.
Lain pula pandangan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan cabaran debat isu Felda adalah buang masa.
Dakwa Ahmad, kerugian yang ditanggung Felda serta syarikat besar lain di Bursa Saham Malaysia berpunca daripada PN yang gagal mentadbir urus kewangan ketika mengambil alih pemerintahan negara.
Katanya, apabila PN mengambil alih kerajaan, terdapat dasar penting yang menyebabkan saham jatuh sekali gus menyebabkan FGV Holdings Bhd (FGV) yang sebelum ini tidak pernah rugi memberikan pulangan dividen rendah.
“Jadi apabila saham jatuh (negara) rugi RM400 bilion kita pula disalahkan, ini tidak betul. Buang masa saja berdebat. Tiada faedah,” katanya pada sidang akhbar di Pontian pada Ahad.
Dalam pada itu polis tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang program perdebatan secara semuka sepanjang tempoh PRN Johor.
Amaran itu dinyatakan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagi mengelakkan wujudnya suasana tegang dan mencetuskan huru-hara di negeri tersebut.
"Segala aktiviti debat secara berdepan, kita tidak benarkan. Keadaan sekarang ini dah pulih, tenang dan sebagainya, masing-masing boleh berkempen.
"Jadi kita tak nak ada perkara yang boleh memecahkan keamanan yang menyebabkan rosak habis, semua tidak boleh berkempen," katanya.
Justeru, ahli politik yang berkempen perlulah patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan wujud suasana tidak aman sekali gus mencacatkan perjalanan PRN Johor.
Jaga-jaga, rakyat sedang memerhati 'perangai' pemimpin politik yang berkempen, dari situ mereka menilai parti mana yang harus dipangkah, pemimpin mana yang layak untuk memerintah.
Sudah-sudahlah menelanjangkan kesalahan mana-mana pihak atas apa yang telah berlaku kepada Felda. Adalah lebih penting untuk merangka strategi terbaik bagi menjamin masa depan Felda yang lebih gemilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!