Kayuh basikal 440km sedarkan rakyat pilih pemimpin bebas rasuah
ALOR SETAR - Seorang aktivis penggerak Front Rakyat Hakim PRU15 (Rakyat Hakim PRU15) sanggup mengayuh basikal sejauh kira-kira 440 kilometer (km) bagi memberi kesedaran kepada rakyat untuk mendaftar undi dan memilih calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berintegriti.
Warga emas, Dahalan Yahaya, 69, berkata, kayuhan basikal secara solo selama tujuh hari dari Kuala Lumpur hingga Menara Alor Setar, Kedah, di sini, dilakukan sejak 28 Februari lepas.
Dahalan yang mesra dengan panggilan Pak Tam Dahalan memberitahu, dia sanggup mengayuh basikal dalam cuaca tidak menentu termasuklah hujan lebat bagi mencapai matlamat memberi kesedaran kepada rakyat.
“Alhamdulillah, saya diberi kesihatan baik untuk melakukan kayuhan dari negeri ke negeri bermula di Kuala Lumpur berakhir di Kedah untuk peringkat pertama kayuhan basikal secara solo ini.
“Ada ketikanya hujan, namun saya tetap meneruskan kayuhan basikal dengan memakai baju hujan dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mendaftar mengundi,” katanya pada Ahad.
Beliau ditemui Sinar Harian pada Program Sambutan Ketibaan Kayuhan Basikal Solo Kempen Kesedaran Rakyat PRU15 di Dataran Menara Alor Setar, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu, Syed Araniri Syed Ahmad Al Idrus.
Tambah beliau, kayuhan basikal secara solo melalui laluan biasa berkenaan diharap menyedarkan rakyat supaya memilih calon yang berwibawa, memiliki integriti dan tidak mengambil rasuah pada PRU15 nanti.
“Apabila sampai suatu tempat, saya akan berhenti di kedai untuk mengajak rakyat membuat perubahan dengan memiliki calon bertanding yang memiliki beberapa kriteria seperti kompeten dan Alhamdulillah sambutan diterima sangat baik,” katanya.
Dahalan berkata, dia sebelum ini telah berjaya melakukan rekod peribadi apabila berjaya menamatkan kayuhan basikal bersama temannya yang merupakan bekas komando, Samsudin Saad, 66, mengelilingi Malaysia selama 31 hari sejauh 2,350 km.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Rakyat Hakim PRU15, Basir Ismail berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Pak Tam Dahalan melakukan kayuhan secara solo dari Kuala Lumpur ke sekitar kawasan Utara sejak tujuh hari lepas.
Beliau menjelaskan, Pak Tam Dahalan secara sukarela melakukan kayuhan solo itu bagi menyuntik kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersungguh-sungguh melakukan perubahan ke atas struktur politik dan pilihanraya sistem demokrasi dalam negara.
Katanya, kempen kesedaran kayuhan basikal solo dilaksanakan bagi memberi memberi kesedaran kepada pengundi khususnya rakyat tidak berparti, orang muda dan rakyat yang muak kepada parti politik agar memilih calon bertanding berdasarkan kelayakan bukan atas jenama parti politik.
“Antara lain, pihaknya berharap dapat membangkitkan semangat agar turut sama golongan terbabit menjayakan Kempen Kesedaran Pengundi PRU15 di tempat dan cara serta kreativiti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, matlamat lain ingin dicapai termasuklah memberi kesedaran kepada rakyat agar menolak semua calon-calon yang terpalit skandal rasuah, bersekongkol dengan perasuah, salahguna kuasa, tidak berprestasi dalam menjalankan perkhidmatan serta mementingkan nasib kroni masing-masing.
Basir menyatakan pihaknya ingin memastikan matlamat dalam PRU15 akan datang, Malaysia dipimpin oleh Ahli Parlimen dan kabinet yang kompeten, berintegriti dan komited memikul tanggungjawab untuk membela dan menjaga kepentingan rakyat serta negara.
Beliau juga akan terus memberi komitmen mempergiatkan aktiviti mobilisasi kesedaran kepada pengundi dari semasa ke semasa sehingga PRU15.
Bagi Basri, matlamat ingin dicapai pada PRU15 akan datang ialah para pengundi akan mengundi Ahli Parlimen memiliki kriteria iaitu kompeten, berintegriti, mempunyai wawasan memacu kemakmuran, keharmonian dan kesejahteraan kepada kehidupan rakyat dan negara.
“Kami optimis hal ini boleh dicapai apabila para pengundi membuat keputusan pada PRU15 iaitu memilih calon bukan memilih parti politik diwakili calon bertanding,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!