Tiada perubahan drastik, fokus Sukan SEA: MSC
ENTITI baharu sepak takraw negara, Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) memberi jaminan tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap pasukan kebangsaan dalam masa terdekat, selepas disahkan menjadi ahli gabungan rasmi Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) pada Sabtu.
Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat agar tidak menjejaskan persiapan skuad negara menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam, yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini.
"Paling utama buat masa ini bagi MSC adalah membantu mempermudahkan cara skuad kebangsaan hadapi Sukan SEA.
"Kami tidak hasrat melakukan rombakan besar-besaran selain mengubah apa yang disusun selama ini tanpa perbincangan bersama pihak berkepentingan kami iaitu jurulatih dan pemain," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada Sabtu, Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dari Singapura serta Setiausaha Agung, Boonchai Lorhpipat dari Thailand mengesahkan MSC menjadi ahli gabungan baharu badan induk sukan itu di peringkat Asia menerusi satu sijil ditandatangani mereka berdua.
Dalam pada itu, Suhaili turut menyatakan penghargaan kepada ASTAF apabila menaruh kepercayaan kepada MSC untuk menerajui sepak takraw Malaysia.
Beliau juga memaklumkan akan melakukan kunjungan hormat kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia bermula minggu depan untuk berkongsi misi yang ingin dibawa dalam memajukan sukan tersebut.
Khamis lepas, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.
Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021 susulan tindakan Presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb tahun lepas.
Ahmad, yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun tahun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.
Namun ASTAF baru-baru ini mengesahkan ia tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.
Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!