Isu ceroboh perairan, lewat bantuan banjir jadi tumpuan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Isu pencerobohan perairan negara khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif dan kelewatan mengeluarkan arahan bagi menyelamatkan mangsa banjir, dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai isu berkenaan akan dibangkitkan semasa Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Persoalan mengenai langkah yang diambil Malaysia bersama ASEAN untuk menangani isu China yang dikatakan sering menceroboh perairan negara terutama di Zon Ekonomi Eksklusif, dikemukakan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) kepada Menteri Luar Negeri.
Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pula dijangka bertanyakan Perdana Menteri berhubung Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang didakwa lewat mengeluarkan arahan sehingga pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa turun tanpa arahan bagi menyelamatkan mangsa banjir.
Pada sesi sama, Tan Kok Wai (PH-Cheras) turut dijangka bertanyakan Perdana Menteri mengenai kemiskinan di dalam dan luar bandar serta jurang pendapatan dalam negara seterusnya pencapaian serta kegagalan program yang dirangka dan dilaksana untuk mewujudkan masyarakat lebih saksama.
Selain itu, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan status terkini mengenai Fasa 2 Projek Pan Borneo Sarawak susulan pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan projek berkenaan semasa melawat ke Serian, selepas projek itu dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) pula meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan perkembangan terkini Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) yang disasar untuk menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin.
Selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Sidang Dewan Rakyat pada Isnin juga dijangka menyaksikan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 selepas dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!