Jangan terpedaya, tiada Big Mac percuma: McDonald’s
RESTORAN makanan segera popular, McDonald’s menafikan mereka menawarkan ribuan ‘Big Mac McDonald’s’ secara percuma bagi menyambut ulang tahun makanan itu yang kini mencecah 50 tahun.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan restoran tersebut, mereka menegaskan promosi tersebut adalah satu penipuan dan tiada sebarang kaitan dengan McDonald’s.
“Kami telah dimaklumkan tentang satu promosi yang kononnya turut menawarkan Big Mac McDonald' percuma bagi menyambut Big Mac yang telah mencecah 50 tahun.
“Kami ingin menjelaskan bahawa promosi tersebut adalah satu penipuan dan tiada sebarang kaitan dengan McDonald's.
“Para pelanggan dinasihatkan agar tidak memberi maklum balas terhadap promosi tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Khidmat Pelanggan kami di https://www.mcdonalds.com.my/contact,” menurut kenyataan itu.
Tinjauan Sinar Harian di ‘link’ yang tersebar itu membawa penulis ke laman ‘https://mcdonalds.corn-bonus.top/en/#’ dan tertulis “McDonald’s memberikan ribuan Big Mac percuma untuk menyambut ulang tahun ke-50 Big Mac”.
Turut ditulis adalah “Hanya tinggal 345 Big Mac” (meskipun dibuka beberapa kali, jumlah Big Mac yang tinggal masih tetap 345 biji) dan soalan survey perlu dijawab di sebelah kanannya jika ingin mendapatkan burger itu secara percuma.
Berdasarkan pemerhatian, soalan pertama ditanya adalah “Adakah anda pelanggan tetap Mcdonald’s?” dengan pilihan jawapan Ya dan Tidak sebelum disusuli beberapa soalan lain.
Selepas selesai menjawab semua soalan, terpapar pula arahan perlu dilakukan sekiranya mahu mendapatkan Big Mac secara percuma iaitu berkongsinya dengan 20 rakan di aplikasi WhatsaApp sebelum anda akan mendapat ‘Gift Card’ dalam masa satu jam.
Sinar Harian cuba menekan ‘Continue’ namun tidak boleh berbuat demikian kerana perlu juga berkongsi dengan rakan-rakan di WhatsApp sebelum pergi ke langkah seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!