DUN Perlis tumpu isu projek tertangguh, kedudukan kewangan negeri

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Mac ini bakal memberi tumpuan terhadap perbincangan projek-projek fizikal yang tertangguh pada tahun lalu dan kedudukan semasa kewangan negeri ini.

Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, sidang pada kali ini juga akan berlangsung sama seperti sebelum ini iaitu melibatkan sesi soalan lisan, jawapan dari daripada kerajaan negeri, perbahasan dan penggulungan.

Beliau berkata, jumlah kuota kehadiran melibatkan pemerhati dan ketua-ketua jabatan yang dijemput pada persidangan kali ini juga adalah separuh berbanding kebiasaan, sebagai usaha menggelakkan penularan wabak Covid-19.

"Kebenaran bagi mengikuti sidang DUN adalah terletak di bawah bidang kuasa Speaker dan saya perlu meneliti terlebih dahulu setiap permohonan sebelum memberi sebarang kelulusan.

"Kedudukan pihak yang hadir sewaktu di dalam dewan nanti juga turut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan melibatkan penjarakan sosial antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan SOP, Hamdan berkata, mereka yang mengikuti sidang DUN perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 melalui kit ujian yang menggunakan kaedah pensampelan air liur sebelum dibenarkan memasuki dewan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan petugas Hospital Tuanku Fauziah (HTF) akan membantu dalam memastikan proses ujian berkenaan berjalan lancar.

"Persediaan dalam aspek SOP ini sememangnya sudah diguna pakai sejak 2020 lagi dan amalan ini diteruskan lagi pada sesi sidang DUN pada tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamdan juga berharap agar setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat memanfaatkan peluang sesi persidangan kali ini untuk mengemukakan soalan-soalan baharu dengan data-data terkini.

Menurut beliau, ini kerana terdapat soalan yang dikemukakan khususnya melibatkan pembangunan di negeri ini adalah berulang-ulang.

"Disebabkan itulah saya harap mereka (ADUN) dapat menggunakan peluang ini untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai perancangan terbaharu kerajaan negeri pada tahun ini," ujarnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!