Anggota bomba cedera ketika padam kebakaran

Seramai 29 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di Bazar Tsen Loong di Taiping. - Foto ihsan JBPM Perak
Seramai 29 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran di Bazar Tsen Loong di Taiping. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

TAIPING - Seorang anggota bomba cedera di muka akibat terkena letupan kecil ketika memadam kebakaran di Bazar Tsen Loong, Jalan Taming Sari di sini pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, Abdul Hakim Ahmad Zaidi, 30, menerima rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, anggota terbabit mengalami cedera di muka akibat terkena serpihan dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 2 pagi.

"Ketika mangsa dan beberapa anggota bomba lain memecahkan pintu di bahagian belakang, berlaku satu letupan kecil di salah sebuah unit bazar.

"Anggota bomba terbabit berada di hadapan menyebabkan dia terkena serpihan letupan itu sebelum rebah dan tidak sedarkan diri. Mangsa terus dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Rafeel Hairul berkata, operasi pemadaman diteruskan membabitkan deretan sembilan daripada 50 kedai di bazar terbabit.

"Kira-kira 40 peratus bahagian kedai musnah dan tiada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

"Seramai 29 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting dan Batu Kurau terlibat dalam operasi itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!