Calon Pengerang perjuang isu peluang pekerjaan anak tempatan di RAPID
PENGERANG - Isu berkaitan peluang pekerjaan untuk anak tempatan Pengerang khususnya di Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) menjadi isu senada diperjuangkan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kawasan Pengerang.
Terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pengerang iaitu Penawar dan Tanjung Surat.
Calon mendakwa anak jati Pengerang cuma meliputi kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang terdapat di RAPID kerana ia banyak dimonolopi oleh pekerja asing dan rakyat Malaysia dari negeri lain.
Mohd Faizal Asmar, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Penawar berkata, isu yang telah berlarutan sejak beberapa tahun itu perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mewujudkan keseimbangan sosioekonomi tempatan.
Bekas pemain bola sepak Johor itu turut berkata, penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang menjadi antara punca lain pengganguran anak muda tempatan yang kini aktif mencari peluang pekerjaan turut mendesak penyelesaian segera.
"Saya dapat maklumat projek-projek minyak dan gas di Sarawak, Sabah dan Terengganu amat mengutamakan anak-anak tempatan, tetapi mengapa Pengerang tidak melakukan perkara yang sama?
"Kalau boleh kita nak beri mereka pekerjaan tetap yang ada manfaat Socso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) agar nasib mereka terbela dan terjamin buat jangka masa panjang berbanding pekerjaan yang mengamalkan sistem kontrak,” katanya ketika ditemui di Bandar Penawar baru-baru ini.
Bagi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di kerusi yang sama, Rahmattullah Kamilin, pendekatan mementingkan bangsa Johor (Johor First) dilihat penting dalam penawaran peluang pekerjaan berikutan peningkatan jumlah belia di samping pembangunan yang pesat di kawasan Pengerang.
Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu berkata, kurangnya pendedahan mengenai tawaran pekerjaan serta kewujudan saluran yang betul antara punca anak tempatan ketinggalan dalam merebut peluang pekerjaan.
"Bukan bersifat berat sebelah, kita boleh beri kepada rakyat dari negeri lain juga tetapi saya fikir limpahan ekonomi perlu diberi kepada masyarakat tempatan terlebih dahulu,” tegasnya.
Dalam pada itu, calon PKR di DUN Tanjung Surat, Rosman Tahir berkata, sekiranya diberi mandat, beliau akan mengemukakan cadangan kepada vendor Petronas supaya lebih mengutamakan anak tempatan.
Beliau turut berhasrat untuk mewujudkan program peningkatan kemahiran (upskilling) khusus buat anak tempatan dalam mempelbagaikan pengetahuan dan juga kemahiran mereka agar setara dengan keperluan syarikat-syarikat tersebut.
"Saya sudah melakukan perbincangan secara belakang tadbir dengan beberapa pihak, ada yang telah bersetuju...sekiranya tidak 100 peratus, Insya-Allah ada beberapa vendor yang beri (peluang pekerjaan),” katanya.
Sementara itu, calon PN di Tanjung Surat, Selamat Ujud berkata, faktor ‘kurang kemahiran’ dan ‘tidak berkelulusan’ seharusnya tidak dijadikan alasan peratusan anak tempatan yang bekerja di Pengerang rendah kerana terdapat banyak pekerjaan sokongan yang tidak memerlukan kemahiran yang tinggi.
"Tanjung Surat ini adalah kawasan pelancongan, jadi saya yakin terdapat banyak peluang pekerjaan sokongan di sini. Kita hanya perlu memantau permintaan pusat-pusat (pelancongan) tersebut. Ini sekali gus membantu melancarkan pengurusan mereka selain dapat menjamin peluang anak-anak tempatan merebut sedikit lebihan ekonomi daripada aktiviti di sini,” katanya.
Perebutan kerusi bagi DUN Tanjung Surat pada PRN Johor, 12 Mac ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Selamat, Rosman dan calon Pejuang, Samat Atan serta Aznan Tamin mewakili Barisan Nasional (BN), manakala DUN Penawar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohd Faizal, Rahmattullah dan Norazila Sanip mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Fauziah Misri (BN). - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!