Mahkamah Tinggi benarkan bekas pengetua maahad tahfiz diikat jamin
IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin membenarkan bekas pengetua sebuah maahad tahfiz, Azizul Yahya, 30, dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan kes amang seksual yang dihadapinya.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed turut mengenakan beberapa syarat ke atas Azizul yang dilarang mendekati kanak-kanak yang menjadi mangsa pertuduhan dalam jarak satu kilometer.
Selain itu, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah setiap bulan.
Abdul Wahab memerintahkan jaminan tersebut akan dibatalkan sekiranya tertuduh melanggar jaminan dan dikehendaki ditahan semula sehingga kes perbicaraan di Mahkamah Sesyen Ipoh selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Hafiz Jalaludin
Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan kes disebut semula pada 29 April ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Azizul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada 28 Januari lalu atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual ke atas lima pelajar lelaki pusat itu, tahun lalu.
Dia bagaimanapun tidak dibenarkan diikat jamin selepas mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu ke atas lima pelajar berusia 12 hingga 15 tahun di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah antara Februari hingga Oktober 2021.
Bagi pertuduhan pertama hingga 14, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memaksa mangsa menghisap kemaluan, menggosok kemaluan, memegang kemaluan dan melakukan onani serta mencium bibir mangsa.
Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan video lucah yang bersifat seksual.
Hakim Norita ketika itu tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, namun pihak pembelaaan kemudian memfailkan permohonan bagi jaminan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!