Duta Besar China ke Malaysia dipanggil dua kali beri penjelasan: KLN
KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri (KLN) memanggil Duta Besar China ke Malaysia sebanyak dua kali pada tahun lalu untuk memberi penjelasan berkaitan isu pencerobohan atau gangguan di perairan Malaysia khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif oleh China.
Timbalan Menterinya, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, langkah itu diambil melalui nota diplomatik yang menjadi amalan kementeriannya dalam menyelesaikan isu berbangkit.
“Untuk maklumat asas sahaja, pada tahun lepas 2021 kita telah memanggil Duta Besar China sebanyak dua kali berkaitan pencerobohan yang berlaku iaitu pertama, pada 3 Jun 2021 apabila 16 pesawat tentera udara mereka dilihat menceroboh wilayah kita.
“Kali kedua adalah pada 4 Oktober berlakunya keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China termasuk kapal penyelidikan di zon ekonomi eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang memintanya menyatakan berapa banyak nota-nota diplomatik atau pertanyaan telah diajukan kepada Kedutaan Besar China ke Malaysia susulan wujud dakwaan berlaku pencerobohan atau gangguan di perairan Malaysia khususnya di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.
Tambahnya, KLN dalam masa sama menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penguat kuasa yang terlibat menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!