Sektor perbankan berkedudukan baik realisasikan aspirasi negara
KUALA LUMPUR - Sektor perbankan Malaysia berkedudukan baik untuk merealisasikan aspirasi Malaysia, terutama ketika ia sedang melalui transformasi dan perubahan besar, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, Malaysia, yang terletak secara strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, mempunyai antara taraf hidup tertinggi di rantau ini.
"Berlandaskan kesalinghubungan terbaik dan rancangan untuk lebih banyak pelaburan infrastruktur dan modal insan pada tahun-tahun akan datang, negara ini bersedia menjadi pangkalan serantau dan antarabangsa yang ideal untuk perniagaan.
"Kita mahu merealisasikan potensi ini dengan meletakkan negara ini sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan teknologi baharu dan menarik, serta titik tumpuan bagi pertukaran idea dan maklumat,” katanya ketika berucap merasmikan ibu pejabat baharu HSBC Malaysia di Menara IQ yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) di sini, pada Isnin.
Tengku Zafrul berkata, Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang baru dilancarkan kini menjadi tumpuan, dan ia penting untuk sektor kewangan dalam mengharungi cabaran dan peluang mendatang, di samping sebagai pemboleh utama yang akan merealisasikan matlamat ekonomi mengikut Rancangan Malaysia ke-12.
"Pada dasarnya, pelan tindakan ini akan merealisasikan matlamat Malaysia ke arah negara yang lebih makmur, inklusif dan mampan.
"Justeru, kami amat menghargai para pelabur yang sekian lama melabur di Malaysia seperti HSBC yang telah melaksanakan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun lepas, dan kini membantu dalam memudah cara pemulihan ekonomi, pertumbuhan dan transformasi Malaysia,” katanya.
Beliau menyifatkan 130 tahun merupakan satu tempoh yang amat panjang dan selama lebih satu abad, HSBC telah berganding bahu dengan Malaysia dan rakyatnya, melakukan peranan penting dalam pembangunan negara ini.
Tengku Zafrul berkata, komitmen itu termasuk penyertaan dalam pelbagai inisiatif nasional antaranya penerbitan Sukuk Kemampanan berdaulat dalam denominasi dolar AS pertama dunia oleh kerajaan Malaysia selain kemudahan JanaNiaga dan SemarakNiaga untuk menambah baik mudah tunai perniagaan dan akses kepada pembiayaan.
"Perjalanan dan usaha ini sudah tentu berdepan risiko," katanya.
Beliau berkata, ketidaktentuan berterusan adalah disebabkan peningkatan semula penularan Covid-19, kekangan bekalan yang berpanjangan serta krisis Rusia-Ukraine.
"Risiko pengetatan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan kelembapan ekonomi China turut akan mempengaruhi pertumbuhan di pasaran yang sedang pesat membangun serta ekonomi-ekonomi sedang membangun.
"Oleh itu, Malaysia berada di persimpangan yang penting, dengan keperluan mendesak untuk merangsangkan pemulihan dan pembaharuan. Pastinya, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau utama juga menjadi penting dalam inisiatif pemulihan dan pembaharuan kami,” katanya.
HSBC Malaysia secara rasmi membuka ibu pejabat baharunya bernilai AS$250 juta di Menara IQ yang terletak di pusat kewangan antarabangsa Malaysia, Tun Razak Exchange(TRX) pada Isnin.
Sejumlah 5,000 pekerja akan ditempatkan di pejabat baharu 33 tingkat itu, dan cawangan utama di Leboh Ampang di sini juga telah berpindah ke Menara IQ.
Pelaburan bagi pembinaan pejabat baharu itu menunjukkan fokus HSBC Malaysia untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul dan menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.
Premis baharu itu akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu Pekerjaan Masa Depan, yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!