Hari Wanita 2022 angkat tema Saksama Bersama
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengangkat Saksama Bersama sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang akan disambut pada Selasa ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tema ini dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat dioptimumkan.
Menurutnya, ia demi menyediakan masa depan negara yang mampan pada masa akan datang.
“Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
“Negara mengiktiraf peranan wanita yang signifikan dalam pelbagai sektor bagi pembangunan negara. Sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62 peratus populasi Malaysia tidak dapat dinafikan, lebih-lebih lagi wanita merupakan tulang belakang keluarga yang menjadi asas generasi pemimpin negara seterusnya.
“Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, pencapaian wanita amat membanggakan dalam subindeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.059 dan subindeks Kesihatan dan Kehidupan yang mencatatkan skor 0.956,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, bagi subindeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi, Malaysia mempunyai skor 0.738, manakala untuk subindeks Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), skor Malaysia masih rendah iaitu 55.3 peratus pada tahun 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (69.7 peratus) dan Thailand (66.8 peratus).
“Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 yang menunjukkan masih jauh jurang penglibatan wanita dalam bidang politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!