'Najib tulis surat minta tanah nilainya amat tinggi' - Tun M

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menulis surat kepada kerajaan supaya diberikan sebidang tanah bagi menghargai jasanya sebagai bekas pemimpin nombor satu negara.

Jelas Dr Mahathir, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan menulis surat tersebut selepas mengenal pasti sebidang tanah yang diingininya itu.

“Saya mendapat tahu bahawa sebenarnya bekas Perdana Menteri ini (Najib) mengenal pasti tempat yang diminta dan dia setuju dengan tunjuk dua keping (bidang) tanah.

“Tetapi dia tunjuk yang (salah) satu yang nilainya amat tinggi dan dengan itu dia menulis surat kepada kerajaan saya tahu, saya dengar, saya boleh percaya apa yang saya dengar kerana orang ini tidak akan bohong kepada saya.

“Jadi sebenarnya bekas Perdana Menteri (Najib) meminta supaya diberikan hadiah, bukan kerajaan buat keputusan tapi dia minta dua kali dan diluluskan kali kedua. Ini memang berlaku,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang bangkit mencelah ingin tahu adakah surat permohonan yang dibuat oleh Najib untuk mendapatkan tanah tersebut dibuat ketika dirinya telah dituduh di mahkamah berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tindakan Najib menulis surat untuk mendapatkan tanah itu juga jelas memperlihatkan dirinya tidak mempunyai perasaan malu meskipun sedang berdepan dengan tuduhan di mahkamah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi persidangan Dewan Rakyat Oktober tahun lalu mengesahkan kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Bercakap semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis, Tengku Zafrul bagaimanapun, berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!