Banjir: Sektor pertanian Terengganu dianggar rugi lebih RM10 juta

Penternak ikan air tawar Mohd Zelan Mat, 55, hanya mampu melihat ikan patin yang diternaknya mati akibat banjir luar biasa melanda pada Ahad lalu semasa di Kampung Beladau Selat. - Foto: Bernama
Penternak ikan air tawar Mohd Zelan Mat, 55, hanya mampu melihat ikan patin yang diternaknya mati akibat banjir luar biasa melanda pada Ahad lalu semasa di Kampung Beladau Selat. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sektor pertanian di Terengganu dianggarkan mengalami kerugian lebih RM10 juta ekoran banjir yang berlaku baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perusahaan sawah padi dan ikan air tawar merupakan antara sektor yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu.

"Nilai kerugian sebenarnya sedang dikenal pasti tetapi saya anggar kerugian melebihi RM10 juta.

"Saya telah bentangkan data awal ini kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana tabung bencana pertanian hanya (sebelum ini diperuntukkan) RM1 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2022,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Bengkel dan Persidangan Perlindungan Radiasi pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, sektor pertanian di Setiu, Besut dan Hulu Terengganu merupakan antara daerah paling terjejas yang merosakkan ribuan hektar tanaman padi di Besut dan Setiu serta ternakan ikan air tawar di sepanjang Sungai Terengganu musnah seratus peratus.

Terengganu dilanda banjir dari 25 Feb hingga 5 Mac dan bencana kali ini disifatkan yang paling teruk dalam lima episod gelombang Monsun Timur Laut sejak 2 Dis 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!