MPPK seru pelajar IPT tunai tanggungjawab sebagai pengundi
SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyeru semua pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) yang layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, selaras dengan itu, semua IPT di seluruh negara juga dimohon untuk mempermudahkan urusan pelajar keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Terdapat lebih 700,000 pengundi muda di Johor dan sudah pasti mahasiswa juga adalah antara golongan yang akan turut sama turun mengundi.
“PRN Johor juga menyaksikan buat kali pertama dalam sejarah, penguatkuasaan Undi 18 dilakukan dan sudah pasti jumlah pengundi akan bertambah.
“Mahasiswa perlu memainkan peranan penting untuk turun mengundi bagi menentukan hala tuju kerajaan Johor yang stabil demi masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Untuk makluman, PRN Johor kali ini akan menyaksikan pertambahan signifikan jumlah pengundi baharu sebanyak 30 peratus, iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, ini menjadikan jumlah pengundi untuk PRN Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menerusi peningkatan itu, ujarnya, terdapat pertambahan antara 20 hingga 30 peratus pengundi baharu di semua 56 kawasan DUN di Johor.
Kerajaan sebelum ini meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!