Jacinda Ardern teladan perangi keganasan

A
A
A

JUMAAT lalu merakamkan satu lagi peristiwa hitam dalam sejarah keganasan. Masyarakat antarabangsa dikejutkan dengan serangan terancang pengganas warga Australia, Brendon Tarrant yang meragut 50 nyawa dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor and Pusat Islam Linwood, Christchurch, New Zealand.

Tragedi di Christchurch itu mencatatkan kematian yang paling tinggi selepas insiden pengeboman di Istanbul (39 kematian) dan Manchester (22) pada tahun 2017.

Tragisnya, ketika dua insiden lalu berlaku di sebuah kelab malam dan ketika konsert penyanyi antarabangsa terkenal, tragedi di Christchurch berlaku dalam rumah ibadah ketika mangsa mahu menunaikan tanggungjawab mereka sebagai hambaNya.

Malah ia juga berlaku dalam sebuah negara terkenal antara yang paling aman di dunia. New Zealand sememangnya dikenali sebagai sebuah negara toleran, terbuka dan meraikan kepelbagaian terutamanya beragama. Sebab itulah negara ini sering menjadi destinasi pilihan para migran yang berhijrah atas pelbagai faktor dari negara asal masing-masing.

Dalam negara Kiwi itu masih lagi berduka atas insiden ini, sesuatu yang menarik diperhatikan sudah tentulah peranan Perdana Menterinya, Jacinda Ardern menangani insiden ini dengan cemerlang sekali. Sejak mula insiden itu tercetus, beliau berjaya memainkan peranan yang berkesan dalam mengawal dan menenteramkan keadaan yang panik dan cemas dan dalam masa yang sama mampu menyerap segala tekanan daripada media dan dunia antarabangsa.

Sebagai ketua, Jacinda menunjukkan keprihatinan yang tinggi kepada rakyatnya di samping ketegasan, keberanian dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak sepanjang menguruskan insiden ini. Lihat sahajalah bagaimana tegasnya beliau menolak insiden ini sebagai perbuatan jenayah sepertimana yang dilabelkan media-media Barat, tetapi dengan berani mengatakannya ia adalah perbuatan pengganas.

Malah, beliau turut enggan menyebut nama Tarrant ketika persidangan Parlimen negaranya Selasa lalu hanya kerana tidak mahu pengganas gila itu mendapat perhatian dan kemasyhuran yang dimahukannya ketika dia melakukan keganasan tersebut.

Di samping ketegasan dan keberanian itu, Jacinda juga turut memperlihatkan sisi lembut beliau sebagai seorang pemimpin. Keprihatinan dan empati yang tinggi ditunjukkan beliau bukan sahaja berjaya menenangkan waris mangsa, malah menyatukan warga New Zealand dan mungkin juga masyarakat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau kelihatan seperti seorang ibu yang prihatin dan penyayang, cuba menenangkan dan membantu mengurangkan kesedihan keluarga mangsa. Beliau menunjukkan akhlak yang baik dengan berhijab sepanjang berada di dalam masjid dan ketika melawat mangsa-mangsa yang cedera di hospital.

Dalam masa yang sama, tidak henti-henti meniup semangat kepada semua mangsa dan seluruh komuniti Islam di Christchurch atas solidariti warga New Zealand. Beliau turut mengarahkan Skim Pampasan Kecemasan Tempatan (ACC), diberikan kepada setiap mangsa bagi membiayai kos pengebumian dan rawatan tanpa syarat dan sudah pun memulakan proses meminda undang-undang senjata api negara itu bagi mengelakkan tragedi sebegini berulang kembali.

Jacinda Ardern telah menunjukkan contoh untuk diteladani oleh semua pemimpin di dunia ketika menghadapi krisis keganasan. Sebelumnya, kita tidak pernah melihat mana-mana pemimpin yang menggunakan kepintaran pendekatan sepertimana yang dilakukan oleh beliau setiap kali berlakunya keganasan.

Yang sering berlaku, pendekatan kekerasan dan penggunaan kuasa dan undang-undang sering digunakan bagi menentang keganasan. Akibatnya sentimen kebencian, curiga dan skeptikal meningkat dalam kalangan warga lantas mencipta keganasan yang lain pula selepas insiden sebelumnya.

Lihat sahajalah apa yang berlaku selepas tragedi di Turki dan Manchester itu sendiri. Ia sudah cukup untuk menunjukkan bagaimana gagalnya taktik melawan keganasan dengan cara sedemikian. Semoga apa yang berlaku di Christchurch ini menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Natijahnya, negara seaman dan toleran seperti New Zealand pun tidak terlepas daripada ancaman pengganas yang makin menggila hari ini. Dengan kemunculan pelbagai ideologi dan fahaman ekstrem dalam konteks politik dan beragama, dikhuatiri ia akan meningkatkan lagi ruang untuk mencetuskan sebarang aktiviti keganasan.

Dalam negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, pengajaran daripada insiden di Christchurch ini memperlihatkan bagaimana hanya dengan seorang individu sahaja, ia sudah cukup untuk mengancam keselamatan dan menghuru-harakan sebuah negara disebabkan perasaan kebencian dan rasialisme yang melampau.

Justeru, marilah semua mengambil pendekatan sederhana dalam segenap aspek terutamanya berpolitik pada era Malaysia Baharu ini yang kelihatan tidak sensitif dengan perkara-perkara berkaitan sensitiviti kaum, agama dan raja-raja Melayu.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!