Nur Shazrin tuai emas di Abu Dhabi
ATLET pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif berjaya merangkul pingat emas acara laser radial wanita ILCA6 pada Kejohanan Pelayaran Asia 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad.
Perlumbaan berlangsung di Kelab Sukan Marin Abu Dhabi itu menyaksikan atlet berusia 24 tahun berkenaan mencatat sembilan mata bersih untuk mengetepikan cabaran pesaing terdekatnya dari India, Nethra Kumanan yang merekodkan 17 mata bersih.
Nancy Highfield dari Hong Kong pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dengan catatan 27 mata bersih.
“Alhamdulillah, akhirnya pingat emas,” kata Olimpian negara itu dalam laman Instagram miliknya pada Isnin.
Sementara itu, Khairulnizam Mohd Afendy turut menampilkan prestasi membanggakan apabila membawa pulang pingat perak dalam acara laser standard lelaki ILCA7.
Atlet dari Kedah yang merupakan Olimpian negara itu meraih kutipan 21 mata bersih manakala pelayar India Vishnu Saravanan muncul juara selepas memungut 16 mata dan gangsa menjadi milik Nicholas Bezy dari Hong Kong yang mencatat 26 mata bersih.
Khairulnizam dalam satu hantaran di laman Instagram juga bersyukur dengan pencapaiannya dalam kejohanan di UAE itu.
Beliau turut memaklumkan akan meneruskan cabaran pada kejohanan di Palma de Mallorca, Sepanyol, selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!