Banjir: Dua anggota polis berjaya selamatkan diri
KUALA LUMPUR - Dua anggota polis daripada Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaan yang dinaiki terperangkap dalam kejadian banjir di Kuchai Lama di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mereka berhenti untuk solat Zohor di Pondok Polis Kuchai Lama sebelum hujan lebat serta ribut petir pada jam 3.30 petang.
"Dua anggota yang menaiki MPV tersebut berusaha keluar dari lokasi bencana namun gagal kerana ada beberapa kenderaan lain yang turut terperangkap
"Paras air naik secara mendadak sehingga menenggelamkan tayar kereta dan kedua-dua mereka kemudian keluar daripada kenderaan itu yang mula dihanyutkan arus deras," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
"Mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan kejadian itu pada Pusat Kawalan IPD Brickfields untuk tindakan lanjut," katanya.
Amihizam turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu terutama ketika musim hujan.
"Patuhi undang-undang jalan raya serta mengikut arahan polis sekiranya terdapat lencongan atau penutupan jalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!