MP Ireland selar sikap Barat berhubung konflik Ukraine, Palestin

Richard Boyd Barrett melabel penindasan Israel ke atas rakyat Palestin sebagai aparteid. Foto: Agensi
Richard Boyd Barrett melabel penindasan Israel ke atas rakyat Palestin sebagai aparteid. Foto: Agensi
A
A
A

DUBLIN - Seorang Ahli Parlimen (MP) Ireland mengkritik tindakan kerajaannya dan pihak Barat yang dilihat menutup mata terhadap kekejaman puluhan tahun Israel ke atas penduduk Palestin namun bangkit bersuara ketika Rusia melakukan pencerobohan di Ukraine.

Richard Boyd Barrett daripada Parti People Before Profit berkata, tindakan double standard Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) terserlah apabila ia mengenakan pelbagai sekatan ke atas Rusia sebaik sahaja Presiden Vladimir Putin mengarahkan tenteranya dari semua arah menuju ke Kiev lebih seminggu lalu.

"Anda (Barat) gembira menggunakan bahasa paling lantang dan konkrit bagi menggambarkan jenayah kemanusiaan dilakukan Vladimir Putin tetapi anda tidak menggunakan bahasa yang sama bagi menggambarkan layanan buruk Israel terhadap rakyat Palestin.

"Tiada sepatah perkataan yang terpacul daripada mulut anda bagi melabelkan layanan Israel adalah aparteid, apatah lagi mahu mengenakan sekatan ke atas Tel Aviv!

"Bias dan sungguh hipokrit," ujar Barret semasa sesi perbahasan di Parlimen.

Tambah Barret lagi, tempoh lima hari pencerobohan Rusia di Ukraine sudah memadai bagi Barat untuk mengenakan pelbagai sekatan ke atas Moscow, namun gagal berbuat apa-apa ketika rejim Zionis menindas rakyat Palestin selama 70 tahun.

"Tuduhan jenayah Perang Israel bukan tuduhan melulu kerana ia didokumen dan diperincikan oleh organisasi hak asasi manusia paling dihormati di dunia," kata Barret bagi merujuk Amnesty International.

Kata Barret lagi, dokumentasi kekejaman Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sudah cukup untuk mengheret negara itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

Artikel Berkaitan:

Tahun lalu, Human Rights Watch (HRW) menuduh tentera Israel melakukan serangan yang 'jelas ditakrifkan sebagai jenayah perang' semasa konflik 11 hari di Gaza.

Menurut HRW, hasil siasatan awal pihaknya mendapati tiga serangan udara Israel menyebabkan kematian 62 orang awam Palestin di lokasi yang tiada sasaran ketenteraan.

Laporan itu menyenaraikan serangan 10 Mei di Beit Hanoun, satu pada 15 Mei di kem pelarian Al-Shati dan seterusnya pada 16 Mei di Bandar Gaza sebagai tumpuan siasatan.

Konflik itu mengorbankan 260 penduduk Palestin termasuk beberapa pejuang. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!