Banjir: Dua PPS dibuka di Perak
IPOH - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Hilir Perak dan Muallim selepas kawasan terlibat dinaiki air susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam pada petang Isnin.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 30 keluarga melibatkan 186 mangsa telah ditempatkan di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khair Johari, Tanjung Malim.
"Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dibuka pada jam 2.30 petang bagi menempatkan 18 penduduk yang terjejas dari Batu 7 1/2, Lorong Mesra.
"Di Muallim pula, seramai 168 penduduk dari 26 keluarga ditempatkan di sekolah berkenaan selepas Kampung Berop dinaiki air," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan (Rela) telah ditugaskan di lokasi kejadian.
"Tindakan pemantauan kawasan terjejas dilakukan berikutan keadaan air masih belum surut dengan paras air sungai berhampiran makin meningkat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!