'Tiada parti berani umum calon MB kecuali BN'
JOHOR BAHRU - Semua gabungan dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih tidak berani menamakan calon Menteri Besar Johor mereka kecuali Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam keadaan kempen PRN Johor yang kini tinggal beberapa hari lagi, mereka masih gagal menyatakan dengan jelas kepada masyarakat calon menteri besar (MB) masing-masing.
"Perikatan Nasional (PN) memilih untuk sekadar mengangkat pemimpin nasional sebagai ‘poster boy’ akibat ketiadaan calon yang layak di peringkat negeri.
"Pakatan Harapan (PH) seperti sudah berputus asa dan sedar bahawa mereka akan mencatatkan prestasi buruk kali ini. Jadi, tidak guna untuk bertelagah dan merebut jawatan MB.
"Tambahan pula Parti Amanah Negara (Amanah) sedar bahawa sebarang calon MB yang mahu mereka angkat haruslah dipersetujui dan diredai DAP, ini bukan sesuatu yang mudah dicapai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan (Warisan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti serpihan lain pula sememangnya kehadiran mereka sejak dari awal jelas sekadar meramai dan memeriahkan PRN Johor.
"Malangnya ketika ramai beranggapan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat 'reformasi', wujud desas desus mereka berkemungkinan besar akan mengulangi kesilapan dalam PRN Melaka iaitu melantik 'katak politik' sebagai calon MB.
"Jika ini benar, bermakna masa depan Johor mahu disandarkan kepada Dr Maszlee Malik iaitu bekas Menteri Pendidikan yang gagal dan telah dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa dalam Bersatu di bawah PH," katanya.
Malah katanya, Mazlee paling awal melanggar janji manis PH untuk membebaskan universiti daripada pengaruh politik dengan melantik dirinya sendiri sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan mengangkat ramai kronik politik ke dalam institusi pendidikan.
"Beliau adalah 'katak politik' yang melompat keluar dari Bersatu menjadi wakil rakyat Bebas, kemudian muncul antara pendukung awal Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan kemudiannya menarik diri dari Pejuang pada 2 November 2020 dan kemudiannya menyertai pula PKR.
"Saya harap, siapa pun calon MB, rakyat Johor akan memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Hasni Mohamad sebagai MB khususnya susulan kejayaan beliau membetulkan kembali kedudukan Johor selepas kelembapan dan kemerosotan semasa zaman dua MB dari Bersatu," katanya.
Tambahnya, Hasni akan mampu menjadi MB yang baik kerana disokong kuat oleh BN dan tidak berlaku perbalahan dalaman parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!